MIRI: Kaunter-kaunter Pangkalan Data Utama (PADU) yang dibuka di Kg Long San Telang Usan, Baram, Miri, oleh Jabatan Perangkaan (DOSM) Sarawak, bukan sahaja memberi kemudahan untuk proses mendaftar dan mengemas kini maklumat, tetapi dalam masa yang sama membantu penduduk mendapatkan lebih kefahaman tentang PADU.

Dengan kedudukannya yang terletak jauh di pedalaman, penduduk kampung berkenaan dan sekitarnya bukan sahaja mengalami masalah dari segi capaian internet, tetapi ada juga yang tidak memahami apa itu PADU, yang dilancarkan kerajaan dengan matlamat utama untuk mengelakkan ketirisan dalam pemberian bantuan dan subsidi.

Usaha DOSM itu mendapat kerjasama penyedia Perkhidmatan Jalur Lebar Satelit, MEASAT melalui perkhidmatan CONNECTme NOW, yang sekali gus membantu menyelesaikan masalah capaian internet yang tidak stabil di kawasan tersebut.

Pengarah Kanan Jualan CONNECTme NOW, Kenneth Yong berkata, pihak mereka berbesar hati dapat bersama-sama membantu dalam usaha DOSM itu.

"Bagi pendaftaran PADU, DOSM hadapi masalah di kawasan pedalaman yang tak ada akses internet. Kami di MEASAT dan CONNECTme NOW sudah ada hotspot di 4,000 kawasan pedalaman terutama di Sabah, Sarawak dan semenanjung, jadi kita adalah satu solusi rangkaian network kepada DOSM supaya penduduk boleh mendapat akses internet untuk selesaikan pendaftaran," katanya ketika ditemui pada hari pertama sesi pendaftaran dan kemas kini, pada Selasa.

Kata Kenneth, antara cabaran yang dihadapi mereka ialah dari segi isyarat wifi dan talian telco bagi urusan penghantaran One Time Password (OTP), selain terdapat sejumlah besar penduduk yang tidak memiliki telefon pintar.

"Jarak kita dengan wifi hotspot kira-kira 50 meter, dalam dewan ini ada dinding yang menghalang pancaran signal, sebab itu kawasan ini tak dapat signal wifi yang kuat.

"Satu lagi cabaran ialah OTP, di mana dalam pendaftaran PADU, terdapat keperluan untuk mendapatkan OTP melalui telefon. Jadi DOSM terpaksa guna cara lain bagi mereka yang tak ada telefon atau tak boleh dapatkan OTP," jelasnya

Bagi penduduk pula, akses internet yang stabil semasa proses pendaftaran dan kemas kini amat diperlukan, ditambah pula dengan kehadiran kakitangan DOSM yang menjadikan proses tersebut lebih memudahkan.

"Kerajaan datang, sampai ke tempat kita walaupun di pedalaman jadi kita berterima kasih. Harapnya selepas ini mereka pergi ke kawasan pedalaman lain, kampung-kampung lain juga supaya tak ada yang tertinggal," kata bekas Ketua Kaum Kg Tanjung Tepalit, Mathew Belulok Lalo.

"Pada peringkat awal, orang kampung tak tahu tentang PADU, ada tengok dalam berita tetapi belum faham. Selepas beberapa lama, ada pihak dari Pejabat Daerah telefon, minta supaya saya beritahu orang kampung tentang PADU," kata Lucia Payakalang, Ketua Kaum Kg Long San Telang Usan.

"Saya sudah daftar dalam talian sebelum ini, tapi ada bahagian yang ada masalah, jadi saya datang ke kaunter untuk selesaikan pendaftaran.

"Penduduk kampung memang tak aware sangat, mungkin kerana mereka setiap hari keluar bekerja jadi tak ada masa nak guna internet dan daftar," kata guru di SK Saint Pius, Harrison Anak Barau.

"Datanglah selalu, masih ramai kami orang kampung kampung di ulu (belum mendaftar). Saya harap pihak DOSM pergi ke kawasan lain juga supaya mereka tak perlu susah pergi ke Miri untuk mendaftar," kata Leollwai Avon pula.

Kaunter PADU di Kg Long San Telang Usan ini dibuka bermula Selasa sehingga Khamis ini.

Sesi bermula jam 8 pagi sehingga 6 petang, kecuali pada hari terakhir di mana kaunter akan dibuka sehingga jam 1 tengah hari.