IPOH: Mesyuarat Exco Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) pada Khamis bersetuju menerima peletakan jawatan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Presiden persatuan itu.

PAFA juga menerima peletakan jawatan Timbalan Presiden, Datuk Adly Shah Ahmad Tah dan Bendahari, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid.

Pemangku Presiden PAFA, Datuk Muhammad Yadzan Mohammad berkata, mesyuarat Exco juga sebulat suara melantik Setiausaha Politik Menteri Besar, Datuk Sham Mat Sahat sebagai Bendahari baharu dan Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed sebagai exco PAFA di samping meluluskan pelantikan wakil PAFA sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perak FC.

Beliau yakin segala keputusan lain yang dicapai dalam mesyuarat tersebut akan merungkai kemelut yang dikatakan berlaku antara PAFA dan Perak FC.

Melalui perbincangan dengan seluruh Exco, kita (capai kata) sepakat (antara) FC dengan FA… seperti anak dan bapa. Kadang-kadang kita tersalah sikit, itu  biasa tetapi akhirnya tujuan kita tidak lain dan tidak bukan untuk memastikan (kemajuan) bola sepak di negeri Perak.

“Yang penting juga hari ini, kita sudah buat keputusan bersama bahawa FC dengan FA, kita berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dalam satu meja,” kata Muhammad Yadzan Mohamad ketika
ditemui selepas mesyuarat Exco PAFA di sini pada Khamis.

Pada 21 Januari lalu, Ahmad Faizal mengumumkan peletak jawatan sebagai Presiden PAFA diikuti timbalannya, Adly Shah.

Sebelum itu, Iskandar Dzulkarnain meletakkan jawatan sebagai Bendahari.

Muhammad Yadzan menjelaskan, mesyuarat Exco tidak dapat diadakan lebih awal kerana beberapa kekangan termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).