PASIR MAS: Pagar kawat berduri atau concertina wire mula dipasang di sekitar pangkalan haram sempadan Malaysia–Thailand dekat tebing Sungai Golok sebagai usaha membendung jenayah rentas sempadan.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata fasa pertama operasi itu dimulakan di pangkalan haram Parking di pekan Rantau Panjang ke Pos Ibrahim Pencen sejauh 1.5 kilometer.
Advertisement
"Kawat berduri berkenaan akan dipasang di 26 lokasi pangkalan haram yang dirobohkan oleh agensi keselamatan sebelum ini.
"Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM100,000 bagi pelaksanaan projek ini," katanya kepada pemberita selepas memeriksa pagar kawat berduri yang telah siap dipasang dekat pangkalan haram Parking, Rantau Panjang di sini, hari ini.
Turut hadir, Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) SAC Ahmad Radzi Hussain dan Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan Datuk Mohd A. Aruwan Ab Aziz.
Mohd Yusoff berkata fasa seterusnya akan diselesaikan secara berperingkat dan kerja-kerja pemasangan dijangka siap sebelum Ramadan.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata pihak berkuasa juga akan bertindak tegas dengan menyita mana-mana perahu yang digunakan untuk membawa penumpang atau barangan melalui laluan tidak sah di tebing Sungai Golok sebagai langkah memperketat kawalan di sempadan Malaysia–Thailand.
"Sebelum ini, kita hanya merampas barangan atau menahan mana-mana individu yang menggunakan laluan tidak sah, namun kali ini kita bertindak tegas dengan menyita perahu atau bot yang digunakan.
"Hasil operasi yang dijalankan pada minggu lepas, kita telah menyita sebuah bot dipercayai milik seorang warga Thailand dan kes disiasat mengikut pelbagai kesalahan termasuk di bawah Akta Imigresen," katanya.
-- BERNAMA