GEORGE TOWN: Kongres Serantau ke-14 - SEAMEO Search for Young Scientists (SSYS) 2026, yang menghimpunkan 475 pelajar membabitkan 72 sekolah dari lapan negara Asia Tenggara termasuk Malaysia, merupakan platform utama bagi memperkukuh kerjasama pendidikan serantau dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata kongres itu bukan sahaja meraikan potensi generasi muda tetapi juga mempromosikan penerokaan saintifik, inovasi dan kerjasama merentas sempadan antara negara peserta.
Advertisement
“Kementerian Pendidikan (KPM) menekankan kepentingan kerjasama dalam bidang yang memberi impak langsung kepada masyarakat dan kehidupan seharian.
“Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 yang baru dilancarkan memberi hala tuju jelas ke arah sistem pendidikan yang lebih inklusif, berkualiti tinggi dan berdaya saing di peringkat global,” katanya semasa majlis penutup kongres berkenaan hari ini.
Fadhlina berkata pelan pembangunan itu juga menjadi asas kukuh bagi memperkukuh kerjasama serantau khususnya dalam pendidikan STEM, pembangunan guru, mobiliti pelajar serta pelaksanan program praktikal yang memberikan manfaat kepada sekolah dan komuniti.
Beliau berkata kongres berkenaan juga selaras dengan aspirasi KPM untuk membentu pelajar yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah kreatif, inovatif, berlandaskan nilai dan bertanggungjawab dari segi sosial.
“Melalui SSYS, pelajar digalakkan untuk berfikir secara kritikal, bekerjasama merentas disiplin dan mengaplikasikan pengetahuan STEM bagi menangani cabaran sebenar,” katanya.
Fadhlina berkata beliau berbesar hati menghadiri majlis penutup SSYS ke-14 yang disifatkannya sebagai platform bermakna yang memperkaya pengalaman pembelajaran pelajar sambil mengukuhkan semangat kerjasama serantau.
Beliau berkata kementerian juga merakamkan penghargaan kepada SEAMEO RECSAM atas penganjuran inisiatif yang tepat pada masa dan relevan, yang bertujuan memupuk bakat saintis muda serta memperkukuh pendidikan STEM di rantau ini.
“Program seperti SSYS mencerminkan komitmen berterusan SEAMEO RECSAM dalam menghasilkan saintis muda, sambil mengiktiraf sumbangan rakan kerjasama, hakim, pendidik dan wakil industri dalam memastikan kejayaan kongres ini,” katanya.
-- BERNAMA