KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia menutup dagangan hari ini dalam zon rendah, dengan indeks utama susut 0.32 peratus manakala pasaran menyeluruh menyaksikan kaunter rugi mengatasi untung susulan aktiviti pengambilan untung dan sentimen lemah menjelang cuti Tahun Baharu Cina minggu depan.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) rendah 5.54 mata kepada 1,750.85 daripada 1,756.39 semasa ditutup pada Rabu.
Advertisement
Indeks petunjuk pasaran itu dibuka rendah 1.30 mata kepada 1,755.09 sebelum mencecah paras terendah 1,749.70 pada awal dagangan dan paras tertinggi 1,758.06 sepanjang sesi dagangan.
Di pasaran keseluruhan, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 593 berbanding 489 manakala 555 kaunter tidak berubah, 1,059 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan meningkat kepada 2.57 bilion unit bernilai RM2.79 bilion daripada 2.55 bilion unit bernilai RM3.06 bilion semalam.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks utama ditutup rendah berikutan dagangan yang rendah disebabkan pelabur merealisasikan keuntungan selepas mencatat peningkatan pada sesi sebelumnya.
Di peringkat serantau, pasaran adalah bercampur-campur sekali gus mencerminkan aktiviti pengambilan untung melibatkan beberapa bursa walaupun saham teknologi di Korea Selatan dan Taiwan terus menerima permintaan kukuh.
Di seluruh rantau ini, Indeks Hang Seng Hong Kong rendah 0.97 peratus kepada 27,001.71 manakala Indeks Straits Times Singapura meningkat 0.65 peratus kepada 5,016.76. Nikkei 225 Jepun rendah 0.02 peratus kepada 57,639.84 dan Kospi Korea Selatan menokok 3.13 peratus kepada 5,522.27.
“Di peringkat domestik, dagangan adalah suram menjelang cuti Tahun Baharu Cina. Bagaimanapun, sokongan kekal kukuh dengan indeks bergerak pada sekitar paras 1,750.
“Mengekalkan paras dalam zon sokongan 1,730-1,750 akan mengukuhkan prospek positif dan menyokong potensi kenaikan yang selanjutnya. Oleh itu, kami menjangkakan FBM KLCI bergerak dalam julat 1,740-1,760 menjelang akhir minggu,” katanya kepada Bernama.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut 12 sen kepada RM12.14, CIMB, 99 Speed Mart dan Press Metal masing-masing rendah enam sen kepada RM8.53, RM3.95 dan RM7.69 manakala CelcomDigi berkurangan empat sen kepada RM3.21.
Bagi saham paling aktif, Zetrix AI naik setengah sen kepada 82 sen, Kee Ming meningkat 49 sen kepada 87 sen manakala Tanco, Velesto dan Borneo Oil tidak berubah kepada RM1.38, 31 sen dan satu sen.
Kaunter paling untung adalah Fraser dan Neave yang meningkat 58 sen kepada RM32.88, Hong Leong Industries melonjak 42 sen kepada RM18.62 dan Petronas Gas menambah 30 sen kepada RM18.54.
Kaunter paling rugi termasuk Nestle yang susut 70 sen kepada RM110.60, United Plantations rendah 58 sen kepada RM29.62, Hong Leong Financial menyusut 16 sen kepada RM22.68, Lysaght Galvanised rendah 14 sen kepada RM2.25 dan Solarvest berkurangan 12 sen kepada RM2.25.
Di pasaran lebih luas, Indeks FBM Top 100 susut 24.72 mata kepada 12,630.89, Indeks FBM Emas turun 23.33 mata kepada 12,805.44 dan Indeks FBM Emas Syariah merosot 0.79 mata kepada 12,261.64.
Indeks FBM Mid 70 naik 34.33 mata kepada 17,591.62 manakala Indeks FBM ACE meningkat 24.64 mata kepada 4,775.13
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 107.51 mata kepada 21,762.87, Indeks Perladangan turun 30.86 mata kepada 8,355.03 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.22 mata kepada 176.73. Indeks Tenaga meningkat 1.56 mata kepada 750.95.
Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 1.45 bilion unit bernilai RM250.71 bilion daripada 1.49 bilion unit bernilai RM2.85 bilion pada Rabu.
Jumlah dagangan waran menyusut kepada 620.26 juta unit bernilai RM71.28 juta daripada 642.03 juta unit bernilai RM71.90 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE mengukuh kepada 500.07 juta unit bernilai RM206.99 juta daripada 413.84 juta unit bernilai RM144 juta semalam.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 196.33 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (238.34 juta), pembinaan (149.51 juta), teknologi (176.20 juta), perkhidmatan kewangan (122.44 juta), hartanah (167.96 juta), perladangan (24.67 juta), amanah pelaburan hartanah (25.70 juta), dana tertutup (28,600), tenaga (119.80 juta), penjagaan kesihatan (93.15 juta), telekomunikasi dan media (45.91 juta), pengangkutan dan logistik (55.73 juta), utiliti (32.74 juta), dan amanah perniagaan (94,700).
-- BERNAMA
TAG: Bursa Malaysia, FBM KLCI, Thong Pak Leng, saham mewah, tahun baharu cina