TEMERLOH: Bagi perancangan jangka panjang, kerajaan negeri Pahang bersedia memberikan kerjasama dengan kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Pendidikan bagi memindahkan sekolah-sekolah yang kerap dilanda banjir ke lokasi baharu.

Pengerusi Jawankuasa Hal Ehwal Agama, Pelajaran dan Kesihatan Negeri, Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, usaha ini sebagai langkah bagi memastikan kejadian yang sama tidak berulang yang telah mengakibatkan kerosakan dan kerugian yang besar akibat banjir.

"Kami sedia bantu Kerajaan Persekutuan untuk menyediakan tapak baharu sekiranya diberikan peruntukan untuk memindahkan sekolah-sekolah terlibat.

"Beberapa tapak dan tanah telah dikenal pasti, yang diyakini lebih selamat, tinggi dan tidak ampuh jika banjir," katanya dalam sidang media selepas beliau meninjau keadaan sekolah yang dilanda banjir di Sekolah Kebangsaan Paya Taram, Kerdau, Temerloh, petang tadi.

Syed Ibrahim berkata, buat masa ini, kerajaan negeri sedang melaksanakan perancangan jangka pendek iaitu dengan  mengenal pasti kerosakan dan kos kerugian untuk dilaporkan kepada pihak kementerian terbabit untuk tindakan susulan.

"Manakala untuk perancangan jangka panjang, kita bercadang untuk memindahkan sekolah-sekolah yang terlibat banjir. Dan ini memerlukan kos berjuta ringgit bagi setiap sekolah," kata beliau.

Akibat bencana banjir baharu-baharu ini, sebanyak 41 sekolah di negeri ini tidak dapat dibuka untuk pengoperasian bagi sesi persekolahan baharu, selain 21 daripadanya telah dijadikan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS).

[LAPOR LANGSUNG] Jumlah mangsa banjir di PPS terus menurun

Katanya, terdapat 13 buah sekolah masih lagi ditenggelami air iaitu tiga buah sekolah di Bera, enam di Pekan, sebuah sekolah di Rompin dan dua buah sekolah di Temerloh, manakala tujuh lagi masih dalam proses pembersihan dan persiapsiagaan peralatan.

Tambahnya, bagi sekolah yang ditunda pengoperasiannya, beliau berharap agar pihak terlibat seperti Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan guru-guru terlibat dalam melaksankan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) agar pelajar terlibat tidak tercicir dari pengajian mereka.

“Kita mengambil pengalaman daripada COVID-19 di mana walaupun sekolah ditutup namun sesi pembelajaran tetap diadakan di rumah. Begitu juga buat pelajar yang terlibat dengan banjir ini,” katanya.