Berbeza dengan dua negeri Pantai Timur lain, Pahang mencatatkan penurunan mangsa berbanding petang Rabu.

Menurut portal rasmi MKN, 1712 orang masih berada di pusat penempatan berbanding 2,473 orang sebelumnya.

9 pusat pemindahan dibuka di dua daerah yang dilanda banjir.

8 daripadanya di Kuantan dan satu lagi di Pekan.

Dua jalan ditutup di daerah Kuantan di Kilometer 16 Sungai Riau, Sungai Lembing dan Kilometer 18 Jalan Kuantan selepas Balai Bomba Gebeng.

Sementara itu, mangsa di kawasan yang surut di sekitar Kuantan mula pulang ke kediaman masing-masing.

Tinjuan Astro Awani di sekitar Kampung Sungai Galing mendapati mereka yang terjejas dengan bencana mengaku berdepan dengan kesukaran dan mengambil masa untuk pulih.

Bagi ibu tunggal, Ijah Othman, banjir kali ini paling buruk sejak mendiami Kampung Sungai Galing 42 tahun lalu.

Semua peralatan rumahnya rosak termasuk persiapan persekolahan 6 cucunya.

Dia tidak sempat sempat menyelamatkan harta benda kerana air naik terlalu cepat dan terpaksa berpindah dengan segera kerana khuatir keselamatan nyawa.

Bagi meringankan beban, bantuan mana-mana pihak amat dialu-alukan.

Menurut Dato’ Sufian Awang, Ketua Pemuda UMNO Kuantan, "Saya menyeru kepada agensi-agensi atau badan korporat yang ingin membantu mangsa-mangsa banjir, bolehlah datang dan menyumbang pada keperluan mangsa mangsa banjir ini. Khususnya peralatan peralatan sekolah dan sebagainya kerana rata rata keluarga yang berada dalam keadaan kesusahan pada ketika ini kerana banyak perbelanjaan persekolahan yang telah dibuat telah musnah akibat banjr bencana pada hari ini."

Kebanyakan rumah di Kampung Sungai Galing ini hampir musnah dilanda banjir kerana lokasinya hanya bersebelahan dengan Sungai Galing yang melimpah akibat hujan lebat yang berterusan.