KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang memperkukuh pembangunan industri kerbau tenusu menerusi usaha mendapatkan baka berkualiti, teknologi moden dan kepakaran.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, inisiatif itu dilaksanakan oleh kerajaan negeri menerusi lawatan kerja sektor penternakan di Itali dengan berkunjung ke Rota Guido SRL di Cremona.
Beliau berkata, lawatan itu memberi tumpuan kepada usaha memahami secara lebih dekat teknologi, sistem pengurusan dan amalan terbaik yang digunakan dalam pembangunan industri kerbau tenusu moden di negara berkenaan.
Wan Rosdy berkata, antara aspek yang diberi perhatian ialah reka bentuk ladang dan kandang, kebajikan ternakan, pemakanan, pengurusan sisa, teknologi pemerahan serta sistem pengendalian dan penyejukan susu.
“Kita juga melihat bagaimana pendekatan dan teknologi yang digunakan di Itali boleh disesuaikan dengan keadaan iklim serta keperluan operasi di Pahang termasuk dari aspek pengurusan ternakan, khidmat teknikal dan sokongan veterinar.
"Pengalaman ini penting kerana kita mahu pembangunan industri kerbau tenusu di Pahang tidak hanya tertumpu kepada pertambahan jumlah ternakan tetapi turut menekankan aspek kualiti baka, genetik, teknologi dan pengurusan moden bagi meningkatkan produktiviti,” katanya dalam hantaran di laman Facebook pada Rabu.
Beliau turut memaklumkan, majlis penandatanganan Memorandum Persefahaman antara AGK Dairy Fresh Sdn Bhd dan Rota Guido SRL berlangsung semalam, yang memberi tumpuan kepada perolehan serta pembiakan kerbau tenusu baka Italian Mediterranean di Bukit Kajang, Raub selain kerjasama teknikal bagi menyokong pembangunan operasi penternakan.
Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, bagi proses membawa masuk kerbau terpilih dari Itali ke Malaysia, kerjasama turut merangkumi aspek teknikal, veterinar dan keperluan berkaitan eksport.
“Melalui kerjasama seperti ini, kita mahu melihat peningkatan produktiviti dan kualiti ternakan, pengeluaran susu yang lebih baik serta pembukaan peluang ekonomi baharu kepada pemain industri tempatan.
“Inilah pendekatan yang kita mahu dalam membangunkan sektor penternakan di Pahang, bukan sekadar menambah bilangan ternakan tetapi juga meningkatkan nilai, produktiviti dan daya saing keseluruhan industri,” katanya.
-- BERNAMA