KUALA LUMPUR: Bekalan air di 145 kawasan di Wilayah Sepang dan 11 kawasan di Wilayah Kuala Langat telah pulih sepenuhnya pada jam 7 pagi ini.

Menurut Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), bekalan air di dua wilayah itu sebelum ini terjejas susulan insiden paip pecah yang berlaku di Simpang 3 LBJ, Jalan B48, Kg Chinchang, Salak Tinggi, Sepang pada 18 Okt lalu.

Katanya, pengguna disarankan untuk mendapatkan maklumat rasmi gangguan bekalan air menerusi semua medium komunikasi rasmi Air Selangor iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook, Instagram dan laman web www.airselangor.com.

"Sebarang pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 atau Help Centre di aplikasi Air Selangor," jelasnya dalam satu kenyataan.