Kejadian paip pecah menjejaskan pelan catuan bekalan air semalam di beberapa kawasan sekitar Lembah Klang, kata Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) pada Selasa.

Penolong Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam SYABAS Priscilla Alfred berkata antara kawasan yang terjejas ialah Bandar Baru Selayang di Gombak, Taman Gembira dan SS2 Taman Sea di daerah Petaling, Jalan Berhala Brickfields, Pandan Perdana serta Bandar Bukit Raja, Klang.

"Kejadian paip pecah itu telah menyebabkan kelewatan penyaluran bekalan air ke kawasan yang sepatutnya mendapat bekalan air.

"Bagi mengurangkan kesulitan yang dihadapi oleh pengguna terlibat, bekalan air disalurkan sebaik sahaja kerja-kerja pembaikan paip pecah siap dijalankan dan tempoh penyaluran dipanjangkan sedikit dari yang dijadualkan," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Alfred berkata pelaksanaan Pelan Catuan Bekalan Air Peringkat Pertama, Ketiga dan Keempat masih diteruskan seperti biasa.

Priscilla berkata pihaknya juga dimaklumkan oleh syarikat operator loji rawatan air bahawa bagi tempoh 24 jam lepas, kelima-lima loji-loji rawatan yang mendapatkan sumber bekalan air mentah dari Sungai Selangor telah dapat meningkatkan pengeluaran air terawat masing-masing.

"Tambahan pengeluaran ini adalah berikutan kenaikan aliran air di Sungai Selangor ekoran hujan yang terus turun sejak beberapa hari kebelakangan ini. Sehubungan itu, bekalan air tambahan telah disalurkan oleh pihak SYABAS ke beberapa kawasan yang terlibat dengan catuan," katanya.

Beliau menjelaskan situasi itu menyebabkan sesetengah kawasan yang sepatutnya dikenakan catuan tetapi masih menerima bekalan air, namun ia bersifat sementara semasa terdapat penurunan hujan.

Alfred turut mengingatkan pengguna agar berjimat cermat dan mengurangkan penggunaan air serta sentiasa bersedia menghadapi catuan bekalan yang dilaksana mengikut jadual.

Orang ramai yang masih keliru dengan pelan catuan bekalan air boleh melayari laman sesawang www.syabas.com.my untuk mendapatkan maklumat berhubung kawasan terlibat catuan, jadual catuan harian dan polisi lain berkaitan catuan itu.