KUALA LUMPUR: Tenaga kerja pakar asing yang diperlukan segera bagi melaksanakan kerja kritikal dan kecemasan boleh memasuki negara ini menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) atau [email protected], kata Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.

Beliau berkata majikan boleh membuat permohonan secara dalam talian melalui pautan https://mtp.imi.gov.my/plsXpats dan kelulusan akan diberikan dalam masa tiga hari bekerja manakala warganegara asing yang memerlukan visa boleh membuat permohonan secara dalam talian.

"Melalui kemudahan masuk baharu itu, pemohon dibenarkan berada di negara ini selama 30 hari bagi membolehkan kerja-kerja kecemasan dan kritikal dijalankan segera.

"Imigresen memperkenalkan kemudahan berkenaan berikutan terdapat keperluan dalam kalangan syarikat tempatan dan antarabangsa yang memerlukan kepakaran asing bagi melaksanakan kerja kritikal antaranya seperti membaiki mesin, janakuasa elektrik, kerja testing and commissioning sebelum aset dan kemudahan berkenaan boleh dibenarkan beroperasi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairul Dzaimee berkata pakar-pakar asing ini diperlukan segera supaya operasi dan produktiviti syarikat tidak terjejas serta kepentingan negara sentiasa terpelihara.

Menurutnya, industri tempatan dan pihak berkepentingan boleh menghantar e-mel kepada [email protected] untuk maklumat lanjut mengenai kemudahan berkenaan.

-- BERNAMA