Undang-undang baru atau sekurang-kurangnya satu garis panduan diperlukan untuk menggariskan peranan sesebuah kerajaan sementara, kata pakar perundangan.

Pandangan diberikan merujuk kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan secara automatik pada hari Khamis ini.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan petang tadi memaklumkan bahawa pembubaran DUN negeri itu akan hanya berlaku pada hari Khamis, dan bukan Rabu seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Sebuah kerajaan sementara merupakan kerajaan yang memerintah di antara waktu sesebuah Parlimen atau Dewan Undangan Negeri dibubar sehinggalah sebuah kerajaan baru dibentuk.

Perlembagaan Persekutuan dan perlembagaan negeri ketika ini tidak menyebut apa-apa secara khusus mengenai isu ini. Bagaimanapun, di negara ini yang mengikut konvensyen perundangan dan tradisi Inggeris, kerajaan sedia ada akan terus berkuasa dalam kapasiti kerajaan sementara, sehingga sebuah kerajaan baru dilantik.

Pakar perlembagaan Profesor Emeritus Datuk Shad Saleem Faruqi berkata lebih baik untuk ada undang-undang khusus mengenai perkara itu berbanding dengan adanya konvensyen yang bersifat tidak rasmi.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa kaedah-kaedah ataupun undang-undang akan sia-sia tanpa etika berpolitik.

"Kita perlu mempunyai kod yang jelas, ya (tetapi) undang-undang bergantung kepada kepatuhan kepada peraturan. Jika itu tidak berlaku, maka ada undang-undang pun ia tidak bermakna. "

Mengulas lebih lanjut mengenai peranan kerajaan sementara, Shad berkata bahawa ia boleh berjalan untuk tempoh maksimum 120 hari dari tarikh pembubaran sehingga kerajaan baru dibentuk.

Beliau juga berkata tiada undang-undang yang menyebutkan had dan peranan kerajaan sementara, namun di beberapa negara lain terdapat dokumen tidak formal yang merupakan garis panduan untuk tujuan itu.

"Pada asasnya, kerajaan tidak boleh melakukan apa-apa yang drastik seperti membuat perlantikan baru atau memecat seseorang."

"Mereka juga tidak boleh meluluskan belanjawan baru dan membelanjakan wang yang berlebihan. Mereka tidak boleh berbuat apa-apa untuk memalukan kerajaan baru, jikalau terdapat perubahan dalam kerajaan. "

"Pada asasnya, tugas mereka adalah untuk menjalankan pentadbiran sehari-hari.

Walau bagaimanapun, Shad berkata ini kesemua ini adalah etika berpolitik yang tidak rasmi dan malangnya tidak boleh dikuatkuasakan di mahkamah undang-undang.

"Seseorang perlu bergantung kepada kebijaksanaan dan tradisi demokrasi. Tetapi di Malaysia, soalan-soalan ini tidak pernah ditanya kerana parti politik yang sama telah berkuasa dan selalu dijangka kembali berkuasa. Etika berpolitik negara ini juga masih belum matang," kata beliau.

Tanggungjawab kerajaan sementara juga telah menjadi isu kerana terdapat lebih banyak negeri yang diperintah pembangkang, katanya.

Sementara itu, peguam Syahredzan Johan berkata bahawa "kerajaan sementara mesti menjadi kerajaan yang bertindak secara minima"

"Secara umumnya kerajaan sementara perlu memastikan bahawa tindakan mereka tidak mengikat kerajaan berikutnya," katanya.

"Ia tidak boleh membuat keputusan dasar, ia tidak boleh melancarkan satu inisiatif baru, ia juga seharusnya mengelak daripada membuat apa-apa perjalanan atas urusan rasmi. Ia tidak boleh mewakili kerajaan melainkan jika ia benar-benar perlu. "

"Ia juga harus memastikan perkhidmatan awam tidak digunakan untuk kempen politik," katanya.

Beliau juga berpendapat perlunya diadanya undang-undang untuk menyatakan peranan khusus kerajaan sementara.

Katanya, adalah lebih baik menentukan had kerajaan sementara secara bertulis berbanding hanya sekadar kefahaman selama ini.