Pakatan Harapan menafikan bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan dilantik sebagai Ketua Pembangkang bagi menggantikan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Menurut Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub, Pakatan Harapan tidak pernah membincangkan mengenai perkara itu kerana berpuas hati dengan kepimpinan Wan Azizah setakat ini.

"Tidak ada kenyataan dibuat berkaitan perkara itu. Semua pihak dalam Pakatan Harapan berpuas hati dengan Datuk Seri Dr. Wan Azizah sebagai Ketua Pembangkang," kata Salahuddin selepas Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di sini, hari ini.

Pendirian itu turut disokong Setiausaha DAP, Anthony Loke yang menegaskan, bahawa parti itu berkeyakinan penuh dengan Ketua Pembangkang sedia ada.

Mengulas sama ada Muhyiddin akan diberi jawatan sekiranya menyertai Pakatan Harapan, Salahuddin berkata ia akan dipertimbangkan namun bukan sebagai seorang pemimpin dalam pakatan itu.

Bagaimanapun, beliau berkata Pakatan Harapan mengalu-alukan Muhyiddin, Mukhriz dan Shafie Apdal untuk menyertai pakatan pembangkang itu.

"Pintu akan sentiasa terbuka. Prinsipnya ialah kita sentiasa terbuka dengan mereka semua tetapi kita juga perlu menghormati mereka, jadi kita tidak akan membincangkan jemputan itu secara terbuka," katanya.

Sebelum ini, Amanah Johor mencadangkan Muhyiddin dilantik sebagai ketua pembangkang baharu bagi Pakatan Harapan.

Ahli jawatankuasa pusat parti itu, Mazlan Aliman berkata terdapat perbincangan dalam parti mengenai pelantikan itu.

Muhyiddin dan Mukhriz dipecat daripada UMNO pada 24 Jun lalu manakala Shafie umum keluar parti pada 4 Julai selepas digantung oleh Majlis Tertinggi UMNO.