Perkembangan pesat komunikasi siber mengundang masalah besar buat seluruh dunia lebih-lebih lagi pada negara yang mempunyai kepadatan penduduk seramai 269 juta seperti Indonesia.

Situasi itu semakin membimbangkan menjelang Pemilihan Umum (Pemilu) 2019 pada Rabu ini.

Pertubuhan Masyarakat Anti Fitnah Indonesia (Mafindo) menjangkakan, penyebaran berita palsu serta fitnah termasuk foto dan video akan lebih marak mendekati hari mengundi.

Mafindo juga melihat, secara umumnya, penyebaran berita palsu lebih tersasar kepada penganjuran Pemilu 2019 yang buat kali pertama diadakan serentak dengan Pemilihan Presiden (Pilpres) dan Pemilihan Legislatif (Pileg).

Menurut pengasas Mafindo, Septiaji Eko Nugroho, menjelang Pemilu 2019, sebelum hari mengundi akan tersebar lebih banyak video dan foto palsu yang boleh menjejaskan pesta demokrasi.

“Penyebaran video dan foto palsu akan mengundang kekeliruan dalam kalangan pegundi yang sekali gus akan merosakkan Pemilu,” kata Septiaji.

Realitinya, penyebaran berita palsu atau fitnah melalui media sosial mencetuskan kebimbangan kepada seluruh masyarakat dunia.

Pengaruh media sosial kepada rakyat Indonesia secara umumnya sangat besar dengan rekod pengguna Facebook menjangkau hampir separuh populasi negara ini iaitu sebanyak 130 juta orang.

Demikian juga dengan pengaruh platform media sosial lain seperti WhatsApp dan Instagram juga menyebabkan penyebaran berita tidak benar terlalu mudah.

Menurut Septiaji, apa sahaja isu yang berkaitan dengan Pemilu amat mudah tersebar dalam kalangan rakyat Indonesia kerana isu itu amat dekat dengan semua orang.

Penyebaran meluas itu juga, kata beliau, disebabkan oleh budaya rakyat yang begitu taksub dengan apa sahaja berita yang dikongsi dalam kumpulan WhatsApp dan media sosial bagi hal-hal berkaitan Pemilu.

“Oleh kerana masyarakat kurang teliti dan tidak faham isu serta tidak melakukan pengesahan maklumat menyebabkan berita palsu disebar luaskan,” katanya lagi.

Bahkan, katanya, menjelang dua hari pelaksanaan Pemilu akan mendorong masyarakat untuk meggunakan media sosial dengan lebih aktif lagi.