Pakej Bantuan Khas Muar SEJIWA, garis tiga fokus utama - Syed Saddiq

Harits Asyraf Hasnan
Jun 1, 2021 04:19 MYT
Syed Saddiq berkata, SEJIWA juga akan memberi insentif pengangkutan Muar-Johor Bahru untuk mana-mana rakyat Parlimen Muar mendapat suntikan vaksin. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan Pakej Bantuan Khas Muar SEJIWA khusus untuk rakyat di kawasannya.
Menerusi inisiatif itu, beliau menggariskan tiga fokus utama SEJIWA meliputi pendidikan, bantuan makanan dan urusan vaksinasi.
"Sehingga kini, kita telah bantu sediakan komputer riba dan tablet kepada lebih 793 pelajar dari keluarga susah di Muar.
"Kali ini, SEJIWA akan membantu menyediakan lagi 300 tablet kepada pelajar Muar," katanya menerusi muat naik di media sosial.

Nak tunggu kerajaan umum bantuan rakyat, lambat sangat. Jadi saya nak umum dulu Pakej Bantuan Khas Muar SEJIWA khas untuk rakyat Muar. 3 Fokus SEJIWA: i. Pendidikan ii. FoodBank iii. Vaksinasi Muar Gaji bulan Jun saya untuk Muar. 100% hasil meniaga saya pun untuk Muar. pic.twitter.com/6R6UUqeEIF

— Syed Saddiq (@SyedSaddiq) May 31, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Mengulas berkenaan urusan vaksinasi, Syed Saddiq berkata terdapat tiga bantuan SEJIWA akan diberikan kepada penduduk Muar.
"Tiga puluh Penggerak Vaksin Parlimen Muar akan pergi rumah ke rumah dan pintu ke pintu untuk membantu lebih 1,000 isi keluarga Muar mendaftar vaksin di atas talian.
"SEJIWA juga akan memberi insentif pengangkutan Muar-Johor Bahru untuk mana-mana rakyat Parlimen Muar mendapat suntikan vaksin.
"Memberikan subsidi ujian saringan RTK COVID-19 kepada rakyat Muar," katanya.
Menurutnya, Parlimen Muar sudah membantu lebih 7,000 keluarga susah menerima bantuan Food Bank.
"Kali ini, SEJIWA akan sediakan lagi bekalan Food Bank kepada 1,000 keluarga supaya tidak ada orang yang lapar dan dahaga," katanya.

Pakej Lockdown Muar SEJIWA! Nak tunggu kerajaan umum, lambat sangat. Jadi saya mula dulu. Semuanya untuk Parlimen Muar. #SEJIWA pic.twitter.com/IzOWgLzHBK

— Syed Saddiq (@SyedSaddiq) May 31, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Inisiatif itu digerakkan menerusi pelbagai usaha pengumpulan dana dilakukan Syed Saddiq serta pasukannya.
Beliau mengambil keputusan menyerahkan gaji bulan Jun untuk inisiatif tersebut selain 100 peratus keuntungan jualan Kurta Syed Saddiq dan merchandise Jalan Tegak.
"Gaji bulan Jun saya untuk Muar. 100% hasil meniaga saya pun untuk Muar," katanya.
Pada masa sama, dana turut dikumpul menerusi sumbangan orang ramai ke pusat khidmat Parlimen beliau.
#Syed Saddiq #Pakej Bantuan Khas Muar SEJIWA #ujian saringan #COVID-19 #subsidi #Parlimen #media sosial #pendidikan #vaksin #suntikan #Syed Saddiq bantu Muar #bantuan rakyat Muar #keluarga susah #pengangkutan #insentif