Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel dan beberapa pemimpin parti itu berjaya memperoleh kebenaran semakan kehakiman untuk mencabar keputusan Pendaftar Pertubuhan (RoS) yang mengarahkan pemilihan semula dibuat.

Ia berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) Datuk Asmabi Mohamad di dalam kamar hari ini, yang menolak bantahan awal RoS terhadap dua permohonan yang difailkan pemimpin MIC itu.

Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan memberitahu pemberita bahawa Hakim Asmabi turut menetapkan 2 April untuk mendengar hujahan kedua-dua pihak bagi permohonan penangguhan perlaksanaan keputusan RoS sehingga semakan kehakiman diputuskan.

Turut hadir peguam B. Jadadish Chandra yang mewakili Palanivel dan beberapa pemimpin MIC lain.

Dua permohonan bagi kebenaran semakan kehakiman itu difailkan secara berasingan.

Permohonan pertama difailkan pada 23 Feb oleh anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC, A.K. Ramalingam, 47, yang menamakan RoS dan Ketua Pengarahnya Mohammad Razin Abdullah sebagai responden.

Ramalingam memohon untuk membatalkan kenyataan responden menerusi surat bertarikh 5 Dis dan 31 Dis lepas serta 6 Feb tahun ini dan memohon satu deklarasi bahawa kenyataan yang dikeluarkan itu adalah mala fide dan ultra vires.

Pada 24 Feb pula, Palanivel bersama-sama dua naib presiden MIC, Datuk S. Sothinathan dan Datuk S. Balakrishnan serta bekas setiausaha agung A. Prakash Rao memfailkan permohonan kedua, menamakan RoS dan menteri dalam negeri masing-masing sebagai responden pertama dan responden kedua.

Dalam permohonan itu, Palanivel, Sothinathan, Balakrishnan dan Prakash Rao memohon, antara lain, satu pengisytiharan bahawa perkara berkaitan dengan pemilihan parti tertakluk oleh perlembagaan parti dan tidak boleh berasaskan pendapat RoS.

Mereka juga memohon pengisytiharan bahawa keputusan mesyuarat agung tahunan MIC yang diadakan pada 30 Nov 2013, adalah sah dan berkuat kuasa.

Keempat-empat pemohon itu juga memohon injunksi sementara untuk menghalang kedua-dua responden daripada mengambil sebarang tindakan terhadap MIC atau mengeluarkan arahan kepada parti itu sehingga permohonan semakan kehakiman itu selesai.