Datuk Seri G. Palanivel hari ini mengesahkan beliau akan melepaskan jawatan sebagai presiden MIC pada 2016.

Palanivel yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar berkata beliau akan berundur pada suku pertama 2016 pada penghujung penggalnya sebelum timbalan presiden mengambil alih.

Bagaimanapun, beliau berkata ini bukan syarat yang disetujui atau dikompromi.

"Tiada kompromi. Saya hanya minta satu penggal lagi, saya sudah umumkannya banyak kali," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau mengadakan mesyuarat tertutup dengan ketua-ketua bahagian parti di ibu pejabat MIC di sini.

Turut hadir bekas Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam dan dua Naib Presiden parti Datuk M. Saravanan dan Datuk S.K. Devamany.

Palanivel mengambil alih jawatan presiden parti selepas Samy Vellu berundur pada 2010 setelah memegang jawatan itu selama 31 tahun.

Palanivel berkata beliau fikir tidak akan ada pertandingan bagi dua jawatan tertinggi pada pemilihan parti akan datang.

"Pemilihan parti - peringkat presiden dan timbalan presiden, saya rasa tidak ada pertandingan," katanya.
Ditanya sama ada itu adalah keputusan terbaik untuk parti, Palanivel

berkata: "Ia keputusan yang baik kerana Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) telah membincangkannya dengan kami."

Bagaimanapun, katanya beliau tidak boleh mendedahkan bila perbincangan itu diadakan kerana perbincangan itu bersifat amat peribadi.

Semalam, Malay Mail online melaporkan Najib mengadakan pertemuan dengan Palanivel, Subramaniam, Saravanan dan Devamany di kediamannya di Putrajaya pada Ahad.

Najib dikatakan menasihatkan mereka supaya menumpukan kepada usaha memperkukuhkan parti dan mengelakkan pertandingan yang boleh membawa kepada "perang terbuka" dalam parti.

"Tetapi di peringkat naib presiden dan CWC (jawatankuasa kerja pusat), mungkin akan ada pertandingan," kata Palanivel.

Pemilihan presiden MIC akan diadakan pada 22 Sept sekiranya ada pertandingan bagi jawatan itu pada pencalonan 1 Sept.

Presiden MIC akan dipilih oleh 4,200 pengerusi cawangan di seluruh negara.

Timbalan presiden, tiga naib presiden dan 23 anggota CWC akan dipilih oleh 1,500 perwakilan parti.