GOPENG: Tiada kata-kata yang dapat diungkapkan Nur Shamimi Abdul Malek, 27, ibu kepada Muhammad Fayyadh Ukasyah Abdul Wahid, 6, melainkan mengenangkan detik-detik terakhir bersama anak syurganya itu.

Kehilangan kanak-kanak orang kelainan upaya (OKU) pada petang semalam itu akhirnya terjawab apabila mangsa ditemui terapung di tepi sebuah lombong berdekatan rumah di Taman Kinta Baru di sini, pagi tadi.

Berita itu tentunya meruntun hati ibu bapa mangsa dan seisi keluarga yang menyifatkan mangsa paling manja dengan ibunya.

“Selalunya kalau nak tidur dia akan mencari saya, duduk dekat dan pegang kaki saya baru dia boleh tidur, kalau tidak selagi itu dia asyik terjaga dan susah tidur.

"Apabila bangun tidur juga dia akan mencari saya dahulu dan kemudian baru dia buat benda lain,'' katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya pada Selasa.

Suri rumah kepada lima anak itu berkata, anak syurganya itu disifatkan paling manja dan diberi perhatian sepanjang masa sama ada ketika berada di rumah atau ke mana-mana sahaja.

Mengimbas semula detik cemas, Nur Shamimi berkata, ketika kejadian, hanya dia dengan anak-anak berada di rumah manakala suaminya masih belum pulang dari kerja.

Jelasnya, ketika kejadian, dia sedang mandi dan kedua-dua pintu rumah dan pagar sudah dipasti berkunci.

"Salah seorang anak berada di luar dan semasa saya sedang mandi abang membukakan pintu dan terlupa hendak menutup balik dan terus masuk ke dalam bilik.

"Apabila keluar bilik air saya melihat pintu rumah dan pagar terbuka dan terus menyuruh abangnya keluar pergi mencari tetapi tidak jumpa,'' katanya.

BACA: Kanak-kanak dipercayai hilang selepas keluar dari rumahnya di Gopeng

BACA: Kanak-kanak ditemukan terapung di lombong selepas hilang sejak semalam

Menurut Nur Shamimi, kerana bimbang, dia pantas keluar mencari Muhammad Fayyadh di taman permainan berdekatan yang selalu menjadi tempat anaknya itu bermain.

"Saya hanya mencari tempat yang dia selalu pergi bermain dan saya tidak terfikir dia akan masuk dekat situ (lombong) kerana selalunya dia akan bermain dekat atas gelongsor dan melompat-lompat di taman itu sahaja.

"Semalam kami sekeluarga mencarinya sehingga jam 4.30 pagi dan ketika itu kami memang tidak menemui sebarang petunjuk,'' ujarnya lagi.

Sementara itu bapa mangsa, Abdul Wahid Shah, 36, berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang dari kerja terus bergegas pulang ke rumah selepas mendapat tahu berita kehilangan anak keduanya itu.

Terdahulu, selepas operasi pencarian sejak malam tadi, mayat kanak-kanak lelaki OKU berusia 6 tahun yang dilaporkan hilang di rumahnya di Lorong Jaya, Taman Kinta Baru di sini, ditemukan terapung di tepi lombong pada pukul 9.45 pagi, hari ini.

Mangsa merupakan OKU (autisme) iaitu mengalami masalah hyper aktif, kurang pendengaran dan tidak boleh bercakap.