NATIONAL
Pamela Ling 'diculik' individu menyamar polis?

N Sivananthan (kiri) berkata, pemandu Grab yang merupakan individu terakhir bersama Pamela Ling sebelum kehilangannya, memaklumkan bahawa keretanya dipintas oleh tiga buah kenderaan.
KUALA LUMPUR: Pamela Ling Yueh yang dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada 9 April lalu dipercayai 'diculik' oleh individu yang menyamar sebagai anggota polis.
Peguamnya, Datuk N Sivananthan berkata demikian berdasarkan laporan polis yang dibuat pemandu e-hailing yang membawa wanita berusia 42 tahun itu pada hari kejadian.
Menurutnya, pemandu berkenaan yang merupakan individu terakhir bersama Pamela Ling sebelum kehilangannya, memaklumkan bahawa keretanya dipintas oleh tiga buah kenderaan ketika melalui Balai Bomba dan Penyelamat Putrajaya, yang terletak berhampiran bangunan SPRM.
"Laporan itu mengatakan seorang lelaki yang memakai ves polis dan seorang wanita berpakaian seragam polis kemudiannya menghampiri kenderaan itu dan meminta Pamela mengikut mereka,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Isnin.Sivananthan menambah, laporan itu turut menyebut, kad pengenalan pemandu e-hailing terbabit turut diambil individu berkenaan.
"Pemandu Grab itu kemudian membuat laporan polis dibuat di Balai Polis Presint 7, Putrajaya pada hari yang sama," ujarnya.
Difahamkan, sebelum kejadian, Pamela Ling sempat menghantar mesej kepada peguamnya memaklumkan bahawa beliau sedang dalam perjalanan ke Ibu Pejabat SPRM menggunakan perkhidmatan e-hailing dan dijangka tiba pada pukul 2.08 petang.
Terdahulu, SPRM dalam kenyataannya memaklumkan bahawa Pamela diminta hadir ke pejabat agensi itu pada tarikh berkenaan bagi membantu siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami