NATIONAL
Pameran Seni Malaysia Gegar Abu Dhabi: “To Know Malaysia is To Love Malaysia”

Pameran ini menampilkan 10 pelukis kontemporari generasi pertama Malaysia yang dihimpunkan menerusi The AFK Collection, sekali gus menjadi pameran seni kontemporari Malaysia pertama seumpamanya di Abu Dhabi.
ABU DHABI: Sebanyak 44 karya seni kontemporari Malaysia kini dipamerkan di Abu Dhabi menerusi pameran “To Know Malaysia is To Love Malaysia: Major Highlights of the AFK Collection” yang berlangsung selama lima bulan, bermula 10 April hingga 10 September 2025 di Cultural Foundation Abu Dhabi.
Pameran ini menampilkan 10 pelukis kontemporari generasi pertama Malaysia yang dihimpunkan menerusi The AFK Collection, sekali gus menjadi pameran seni kontemporari Malaysia pertama seumpamanya di Abu Dhabi.
Ia merupakan kolaborasi antara The AFK Collection dan Cultural Foundation yang dikendalikan Jabatan Kebudayaan dan Pelancongan Abu Dhabi.
Majlis pembukaan diserikan dengan kehadiran Yang Mulia Shaikh Ali Almualla, Pengerusi ARDECO dan Duta Besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu, Yang Terutama Tengku Dato' Sirajuzzaman Tengku Mohamed Ariffin. Turut hadir adalah penggiat seni utama rantau Teluk termasuk pengumpul seni, kurator, galeris dan wakil media.Pameran ini dibahagikan kepada lima tema utama, membongkar sejarah pergerakan seni kontemporari Malaysia, perubahan budaya dan alam sekitar serta ekspresionisme awal dan unsur surealisme.
Antara seniman yang ditampilkan ialah Ahmad Shukri Mohammed, Ahmad Fuad Osman, Ali Nurazmal, Anniketyni Madian, Fauzan Omar, Hamir Soib, Masnoor Ramli, Shooshie Sulaiman, Yusof Ghani dan Zulkifli Yusoff.
Karya-karya mereka merangkumi lukisan, arca, media campuran dan pemasangan seni yang menggambarkan perubahan Malaysia daripada negara agraria ke arah negara moden yang pesat membangun.
Menurut pihak penganjur, pameran ini bukan sahaja memartabatkan identiti seni Malaysia ke pentas global, malah memperkukuh kedudukan Abu Dhabi sebagai pemain utama dalam ekonomi kreatif dunia, di samping pelaburannya dalam institusi seni seperti Louvre Abu Dhabi dan bakal pembukaan Guggenheim Abu Dhabi.
Pameran ini turut mendapat sokongan daripada Christie’s, CIMB Artober dan Limkokwing University of Creative Technology.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami