KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan bahawa siasatan yang cukup rapi akan dilakukan ke atas semua individu tanpa mengira 'puak' yang disyaki terlibat dalam isu Pandora Papers.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah mengarahkan badan-badan siasatan yang terlibat, selain meminta semua Ahli Parlimen agar bersikap tegas dengan sebarang isu penyalahgunaan kuasa.

Tegas beliau, siasatan dijalankan berdasarkan bukti dan fakta tetapi sekiranya wujud penyalahgunaan kuasa atau motif politik, mana-mana pihak boleh mencabarnya.

"Tetapi kalau wang ratusan bilion atau ratusan juta ringgit dikeluarkan dan dibiarkan serta dilindungi kerana menyokong (mana-mana individu), itu membawa porak peranda dan malapetaka kepada negara.

"Tindakan yang diambil oleh badan-badan ini (Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, Bank Negara Malaysia, Polis Diraja Malaysia, dan Lembaga Hasil Dalam Negeri, termasuk mengambil kira beberapa langkah yang lebih canggih seperti bitcoin untuk mengelakkan daripada transaksi wang tunai.

"Selain itu, beberapa langkah lain seperti digital currency yang memerlukan kecanggihan di pihak PDRM dan BNM umpamanya, dan mempertingkatkan usaha program keselamatan sekuriti," katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) minta Perdana Menteri menyatakan pendirian kerajaan mengenai isu Pandora Papers yang telah timbul semula pada minggu lepas serta sejauh mana siasatan dan tindakan susulan oleh SPRM, BNM dan PDRM dilaksanakan.

Menjawab lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata dianggarkan hampir 3,000 nama disebut di dalam Pandora Papers, dan siasatan ketika ini antaranya terarah kepada tokoh-tokoh politik besar.

"Seperti yang saya sebut bekas Perdana Menteri dan bekas Menteri Kewangan, yang sebenarnya dipercayai menyalahgunakan kuasa mereka, dan memunggah kekayaan semasa mereka mempunyai kuasa. Maka, itulah Pandora Papers.

"Tidak banyak negara yang mempunyai tekad politik yang mengarahkan siasatan rapi tetapi Alhamdulillah Malaysia antara negara yang telah beri arahan yang cukup jelas supaya menghentikan amalan budaya memunggah dan merompak wang negara," ujarnya lagi.

Mengenai usaha untuk mengembalikan keyakinan rakyat dan pelabur, Ahli Parlimen Tambun itu berkata akan memastikan prosedur pemberian tender dijalankan secara telus di semua peringkat kementerian.

Tambahnya lagi, amalan menyeleweng wang atas alasan membantu syarikat bumiputera juga perlu dihentikan.

"Saya nak jelaskan bahawa ada dasar untuk membantu bumiputera, boleh adakan tender terhad dalam kalangan syarikat bumiputera itu tidak menghalang.

"Tetapi tidak boleh digunakan alasan membantu bumiputera untuk meminta syarikat-syarikat itu memberi wang kepada  peribadi atau parti seperti amalan yang telah berlaku sebelum ini.

"Saya beri jaminan kepada Parit Sulong amalan ini akan dihentikan bukan sahaja di Kementerian Kewangan, tetapi kementerian-kementerian lain yang telah diputuskan oleh Jemaah Menteri," katanya.

Pandora Papers ialah dokumen yang mendedahkan kekayaan disembunyikan di luar negeri, sindiket pengecualian cukai dan aktiviti mencuci duit dalam kalangan orang kaya serta berpengaruh di dunia.

Pandora Papers, antara lain menyebut, kira-kira 12 individu Malaysia, termasuk empat ahli politik, antara puluhan ketua negara, kerajaan dan pemerintah dari serata dunia yang didapati menggunakan tempat perlindungan cukai luar pesisir bagi menyembunyikan aset bernilai ratusan juta dolar, sepanjang 25 tahun lalu.