Skip to main content

Dunia

Bas bawa pekerja loji gas Iran terbalik, 12 maut

Gabenor Daerah Abdanan, Behzad Nourmohammadi berkata 12 pasukan penyelamat membabitkan 32 anggota bersama enam ambulans telah dikerahkan ke lokasi nahas. Foto X @azizamtara
Gabenor Daerah Abdanan, Behzad Nourmohammadi berkata 12 pasukan penyelamat membabitkan 32 anggota bersama enam ambulans telah dikerahkan ke lokasi nahas. Foto X @azizamtara
Advertisement

TEHRAN: Seramai 12 orang maut manakala 16 lagi cedera selepas sebuah bas yang membawa pekerja sebuah loji pemprosesan gas terbalik di Wilayah Ilam, barat Iran, lapor media rasmi negara itu pada Ahad.

Agensi berita rasmi IRNA melaporkan kemalangan itu berlaku lewat malam Sabtu di laluan antara daerah Abdanan dan Dehloran, berhampiran sempadan Iraq.

Gabenor Daerah Abdanan, Behzad Nourmohammadi mengesahkan kesemua mangsa yang maut dan cedera merupakan pekerja syarikat pemprosesan cecair gas asli (natural gas liquids atau NGL) yang sedang menaiki bas berkenaan ketika kejadian.

Advertisement

Beliau berkata 12 pasukan penyelamat membabitkan 32 anggota bersama enam ambulans telah dikerahkan ke lokasi nahas.

Menurutnya, semua mangsa yang cedera telah dibawa ke hospital di Ilam, Dehloran, Dezful dan Abdanan untuk menerima rawatan lanjut.

Advertisement

Pihak berkuasa tempatan turut memberi amaran angka korban berkemungkinan meningkat berikutan beberapa mangsa mengalami kecederaan parah.

Punca sebenar nahas masih belum dapat dipastikan dan siasatan lanjut sedang dijalankan pihak berkuasa tempatan.

Iran sering berdepan isu keselamatan jalan raya apabila kemalangan trafik meragut hampir 20,000 nyawa dalam tempoh setahun sehingga Mac lalu, menurut data rasmi Pertubuhan Perubatan Undang-Undang negara itu yang dikeluarkan pada Jun lalu.

Must Watch Video

Advertisement