PASCA PRU-12, pelbagai isu menghantui anggota legislatif sama ada di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri. Ada wakil rakyat tidak hadir di persidangan dewan. Ada yang lompat parti. Ada yang berkali-kali dihadapkan ke lembaga disiplin parti. Ada juga yang dihadapkan ke mahkamah kerana gelagat politik. Pendek kata, macam-macam ada!

Ada orang kata wakil rakyat sekarang tidak berkualiti. Mereka membandingkan kualiti wakil rakyat sekarang dengan sebelumnya. Malah ramai yang mempertikaikan komitmen wakil rakyat sekarang sama ada kepada sidang dewan atau dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat. Rumusan yang dibuat ialah wakil rakyat sekarang tidak sehebat wakil rakyat dulu.

Memanglah ada segelintir wakil rakyat yang tak sepatutnya berada di situ. Entah bagaimana mereka dipilih, hanya pengundi sajalah yang tahu. Kalau sewaktu sidang dewan pun boleh bermain golf, tentulah elok mereka menjadi caddy saja!

Bagaimanapun, saya tidak fikir secara keseluruhannya wakil rakyat hari ini kurang bermutu berbanding sebelumnya. Apa yang berlaku ialah media baru telah meletakkan pemimpin politik di bawah kanta pembesar; sesuatu yang tidak berlaku sebelumnya. Apa sahaja berkaitan dengan pemimpin politik akan diteliti oleh pengundi.


Tapisan

Selebihnya, pengundi hari ini sudah bersifat selektif dan tidak secara wewenang menerima pemimpin yang tidak memenuhi kriteria yang mereka cari.

Di sinilah letaknya keperluan kepada satu tapisan yang ketat. Sesebuah parti politik tidak lagi boleh mengehadkan pemilihan calon kepada sesama pemimpin parti sahaja, tetapi harus bersikap terbuka agar pencarian pemimpin yang terbaik membuahkan hasil yang diharapkan.

Persoalan yang timbul ialah apakah ciri wakil rakyat – sama ada Ahli Dewan Rakyat atau Ahli Dewan Undangan Negeri – yang diharapkan oleh pengundi? Inilah soalan yang sering ditanya oleh parti-parti politik.

Bagi mendapatkan gambaran mengenai ciri yang dikehendaki, saya telah mengemukakan beberapa siri soalan di Facebook. Biar rakyat nyatakan apakah yang mereka mahu. Untuk setiap kali soalan sebegini dikemukakan, seramai 40 hingga 50 orang mengambil bahagian dalam perbincangan. Jawapan yang diberikan boleh disimpulkan dalam lima kategori utama.


Ciri-ciri

Kategori pertama ialah keperibadian calon itu sendiri. Ciri-ciri penting dalam kategori ini ialah integriti, tidak mempunyai latar belakang peribadi yang tercalar dan mempunyai akhlak serta contoh teladan kepada anggota masyarakat lainnya. Bagi masyarakat Islam, mereka ingin melihat pemimpin politik solat di masjid dan bukan menjejakkan kaki ke ‘Rumah Allah’ itu hanya apabila ada acara tertentu saja. Mereka juga tak mahu pemimpin politik yang bercakap dengan mendongakkan kepala ke langit.

Kedua ialah idealisme perjuangan. Pengguna media baru yang mengambil bahagian menyenaraikan beberapa ciri penting termasuklah menghayati perjuangan parti, istiqamah dengan perjuangan dan meletakkan kepentingan parti di atas kepentingan diri sendiri. Sementara rakyat faham hak wakil rakyat untuk keluar parti, mereka turut merasakan pemimpin politik perlu tahu bahawa rakyat bukan sekadar mengundi individu tetapi juga memilih parti. Hak itu haruslah dihormati.

Kategori ketiga, ialah kedudukan pemimpin politik itu dalam masyarakat. Rakyat mengharapkan ciri-ciri berikut ada dalam mana-mana pemimpin yang dipilih iaitu dia hendaklah ‘kelihatan’ dalam masyarakat, mempunyai rekod memberikan perkhidmatan kepada rakyat dan boleh menyuarakan isu-isu rakyat di dewan perwakilan. Rakyat tidak mahu pemimpin bermusim iaitu mereka yang datang pada musim pilihan raya saja; apatah lagi pemimpin politik yang tunjuk muka hanya apabila Perdana Menteri datang.

Satu lagi aspek yang penting ialah komunikasi. Rakyat mengharapkan pemimpin dalam kalangan yang mampu berkomunikasi misi dan visi dalam bahasa yang difahami oleh rakyat, mampu artikulasi isu dan dapat berinteraksi dengan pelbagai lapisan masyarakat. Ada pemimpin yang syok sendiri menggunakan bahasa bombastik bagi menunjukkan tahap intelektualnya. Sesekali okay lah, tetapi kalau selalu, rakyat menyampah.

Akhirnya, kelima, rakyat mengharapkan pemimpin politik berilmu pengetahuan yang luas dalam pelbagai isu dan mempunyai pendidikan yang tinggi. Suatu ketika dulu, pendidikan calon tidak menjadi isu penting. Hari ini, pengundi – terutama yang tinggal di bandar meletakkannya sebagai satu prasyarat pemilihan. Suatu waktu dulu, letak tunggul pon boleh menang. Hari ini tidak lagi begitu.Rakyat mengharapkan wakil rakyat yang jauh lebih baik daripada mereka.


Ambil kira

Itulah lima aspek penting yang perlu ada pada seseorang pemimpin politik, terutama sekali mereka yang ingin menawarkan diri untuk jawatan awam.

Apabila sesebuah parti politik ingin memilih calon pilihan raya, harus mengambil kira kesemua aspek itu. Sebelum ini, parti-parti politik mungkin merasakan memadai untuk seseorang melepasi tapisan polis, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Jabatan Insolvensi atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Bagaimanapun, dapatan tinjauan yang dibuat menunjukkan bahawa rakyat mengharapkan lebih daripada itu. Sekiranya parti politik dapat melakukan saringan ini, calon pilihan raya akan menjadi aset yang cukup bernilai untuk mengukuhkan imej parti di mata pengundi.

Pada masa yang sama, seseorang yang dipilih sebagai calon pilihan raya bagi mewakili mana-mana parti politik hendaklah menggunakan ciri-ciri di atas untuk ‘mengukur baju di badan sendiri.’ Sekiranya dia mendapati dirinya tidak mampu, maka sebaik-baiknya dia menolak tawaran tersebut. Usah terhegeh-hegeh melobi untuk menjadi calon pilihan raya sekiranya dia belum bersedia.

Sekiranya tidak, calon pilihan raya akan menjadi liabiliti dan keseluruhan kempen itu tidak ubah seperti memikul biawak hidup!

________________________________________________

* Tulisan ini dipetik daripada buku Tunggu Apa Lagi? yang ditulis oleh Nobisha selepas pilihan raya umum 2008. Kami menyiarkan semula petikan daripada buku itu setelah Nobisha dalam satu komentarnya di Twitter baru-baru ini menyebut: "Apa yang saya tulis mengenai politik lima tahun dulu masih relevan."
* Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Astro Awani.