KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menempatkan lebih 300 pegawai dan anggota di stesen minyak kawasan sempadan negara sebagai langkah proaktif mengekang aktiviti penyelewengan serta penyeludupan diesel.
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata penugasan itu bagi memantau sebarang pembelian bahan bakar berkenaan secara berlebihan.
Beliau berkata langkah awal itu dilaksanakan susulan pengumuman kerajaan berhubung pelarasan harga baharu diesel bersubsidi untuk rakyat tempatan pada kadar RM2.10 seliter bermula 1 Julai ini.
"PDRM turut bekerjasama erat dengan agensi seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memastikan kegiatan penyeludupan ke luar negara dibasmi ke akar umbi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA) ke-42 di Maktab PDRM Kuala Lumpur di sini hari ini.
Ahad lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga diesel bersubsidi untuk rakyat Malaysia diturunkan kepada RM2.10 seliter bermula bulan depan.
Anwar berkata pelarasan itu akan dilaksanakan menerusi pembaharuan penyasaran subsidi bersandarkan kaedah pengesahan MyKad, selaras dengan pendekatan program BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
-- BERNAMA