KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneliti semula pelaksanaan kenaikan gred automatik kontraktor Kelas F (G1) susulan kebimbangan yang dibangkitkan pemain industri berhubung kesannya terhadap peluang mendapatkan projek dan daya saing syarikat kecil.
Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya telah mengambil maklum rayuan yang dikemukakan Persatuan Kontraktor Kelas F (PERKOBF) Malaysia dan akan mengadakan perbincangan lanjut bersama pihak berkaitan bagi mencari penyelesaian terbaik.
“Isu berkenaan melibatkan keputusan dasar yang diluluskan pada 2019 yang mewajibkan kontraktor yang berada terlalu lama dalam kategori tertentu untuk dinaikkan ke gred lebih tinggi bagi memberi ruang kepada kemasukan kontraktor baharu,” katanya.
Bagaimanapun katanya, terdapat kontraktor Kelas F yang berpandangan kenaikan gred secara automatik bukan semestinya memberi kelebihan kerana persaingan menjadi lebih sengit manakala peluang projek yang ditawarkan tidak semestinya bertambah.
Dalam masa sama, Alexander berkata kementeriannya turut meneliti cadangan supaya had nilai kontrak bagi kontraktor Kelas F dinaikkan daripada RM200,000 kepada RM300,000 bagi membantu mereka berdepan peningkatan kos operasi dan cabaran semasa industri pembinaan.
“Perbincangan dalaman diadakan melibatkan Kementerian Kerja Raya dan CIDB sebelum cadangan berkenaan dibawa ke peringkat lebih tinggi termasuk Kementerian Kewangan untuk pertimbangan lanjut,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Mesyuarat Perwakilan Tahunan Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F (PERKOBF) Malaysia di Balai Seminar Tun Dr Hamdan Sheikh Tahir, Wisma Dewan Bahasa Dan Pustaka di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, Alexander turut mengumumkan peruntukan khas sebanyak RM50,000 kepada PERKOBF Malaysia bagi menyokong pelaksanaan pelbagai aktiviti persatuan dalam usaha memperkasakan kontraktor Kelas F di seluruh negara.
Sebelum ini, PERKOBF Malaysia merayu Perdana Menteri, Anwar Ibrahim supaya membatalkan pelaksanaan kenaikan gred automatik daripada G1 kepada G2 dalam sistem dalam talian CIDB yang disifatkan membebankan sebahagian kontraktor kecil.