Penduduk di sekitar Buntong gempar dengan penemuan bom di sini pada Sabtu yang kemudiannya disahkan sebagai panggilan palsu.

Dalam kejadian sekitar 7.25 malam itu, beberapa pasukan unit bom polis bergegas ke lokasi setelah menerima laporan mengenai penemuan bom di sebuah rumah teres di Buntong Jaya, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Sum Chang Keong kemudiannya mengesahkan bahawa pengadu tersebut berada di bawah pengaruh alkohol yang berlebihan.

"Sebaik menerima panggilan, beberapa unit polis termasuk Unit Pemusnah Bom, K9, MPV dan balai polis Taman Rishah telah dikejarkan ke tempat kejadian.

"Hasil pemeriksaan menyeluruh di dalam dan luar kawasan rumah selama dua jam, kami mendapati tiada bom seperti yang dilaporkan," katanya kepada pemberita dalam satu kenyataan di sini malam tadi.

Katanya, ujian awal pengaruh alkohol yang dilakukan oleh pihaknya ke atas pengadu adalah positif dan melebihi had dibenarkan.

Sum berkata pihaknya akan melaksanakan siasatan lanjut ke atas lelaki berumur 39 tahun berkenaan untuk panggilan bom palsu yang menggemparkan penduduk setempat.