KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA) mengesyorkan supaya proses pengambilan pekerja asing ke dalam negara dijalankan sepenuhnya oleh ejen-ejen tempatan yang berlesen di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM), dengan mengikut garis panduan serta tatakelola yang ditetapkan oleh kementerian-kementerian yang terlibat.

Presidennya, Datuk Megat Fairouz Junaidi Megat Junid berkata, ejen-ejen tempatan terbabit sepatutnya berurusan dengan ejen-ejen luar negara untuk melancarkan proses tersebut kerana pihak majikan tidak mahir dan arif dalam jurusan pekerja asing.

"Pelaksanaan denda juga seharusnya dikenakan kepada ejen-ejen tempatan kerana mereka sepatutnya menjalankan proses mengikut arahan-arahan yang telah digariskan oleh pihak kerajaan.

"PAPSMA juga setuju pekerja-pekerja asing di sektor-sektor lain yang dibawa masuk ke Malaysia diberi kelonggaran dan kelulusan untuk bekerja di lain-lain sektor yang mana pekerja asing tersebut mempunyai kelulusan, pengalaman atau kemahiran.  

"Justeru, PAPSMA mengesyorkan agar satu penggubalan dibuat dalam Akta Imigresen 1959/63 supaya proses ini dapat dilaksanakan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata demikian mengulas cadangan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, agar mana-mana syarikat yang didapati membawa masuk pekerja asing tetapi gagal menempatkan mereka di sektor pekerjaan, perlu dikenakan kompaun tinggi sehingga RM30,000 bagi setiap pekerja.

Johari menambah jumlah kompaun yang dikenakan itu boleh digunakan semula untuk menanggung kos penghantaran pulang pekerja asing ke negara asal, yang sebelum ini dibiayai kerajaan.

Mengulas lanjut, Megat Fairouz berkata PAPSMA bersetuju untuk pihak kerajaan memperketatkan lagi proses kelulusan pengambilan pekerja asing.

PAPSMA juga, ujar beliau sependapat agar sektor perladangan dan pertanian diberikan keutamaan memandangkan pihak industri tersebut memerlukan kemasukan tenaga kerja asing.

"Kelewatan kemasukan pekerja asing ini akan menyebabkan aktiviti penuaian tertangguh dan sasaran produktiviti hasil juga terjejas.

"PAPSMA amat bersetuju dengan Menteri Perladangan dan Komoditi (Johari) supaya usaha diletakkan untuk menaikkan Malaysia daripada Tier 3 kepada Tier 2 tahun ini bagi menjaga imej negara secara global dalam etika pengambilan pekerja migran dari luar negara," jelasnya lagi.

Dalam masa yang sama, Megat Fairouz berpandangan KSM harus bekerjasama dengan negara sumber, kedutaan-kedutaan dalam negara, agensi-agensi tempatan, para majikan daripada semua sektor serta kakitangan kerajaan agensi-agensi penguatkuasaan yang terlibat.

Langkah tersebut, sekali gus katanya akan memantapkan lagi prosedur kemasukan pekerja asing secara teratur dan menyeluruh bagi memenuhi dasar serta polisi kerajaan yang sedia ada.