Paras air di enam sungai di Kedah lepasi tahap bahaya awal pagi ini

Anggota Angkatan Pertahanan Awam Kota Setar menjalankan operasi menyelamat mangsa-mangsa banjir dari Kampung Bukit, Mukim Derang ke Pusat Pemindahan Banjir di Pokok Sena, 27 Sept 2023. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Sebanyak enam buah sungai melepasi tahap bahaya di Kedah, setakat jam 4 pagi, hari ini.
Berdasarkan laman Public Infobanjir, keenam-enam sungai itu turut mencatatkan trend peningkatan paras air.
Aras air sungai di Padang Terap di Kepala Batas, Kubang Pasu mencatatkan 4.5 meter dan melebihi tahap bahaya manakala Sungai Ketil di Kuala Pegang, Baling pula meningkat kepada 38.31 meter melebihi tahap bahaya.
Ini termasuk di Sungai Anak Bukit di Taman Aman, Kota Setar yang menunjukkan bacaan 3.29 meter melebihi tahap bahaya serta Sungai Laka di Kg. Padang Pasir, Kubang Pasu yang menunjukkan bacaan 22.03 meter melebihi tahap bahaya.
Selain itu, Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR, Kota Setar menunjukkan bacaan 1.88 meter melebihi tahap bahaya dan Sungai Pendang di Pekan Pendang turut melebihi tahap bahaya dengan aras air menunjukkan bacaan 2.89 meter.
Dalam pada itu, Sungai Sari di Kilang Gula Padang Terap menunjukkan bacaan 27.64 meter melebihi tahap amaran dengan aras air sedang menaik.
Dalam perkembangan sama, Sungai Sibu Laut, di Kuching turut mencatatkan aras air 3.22 meter melebihi paras bahaya namun sedang dalam trend menurun.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

