MALAYSIA
Paras oksigen terlarut rendah punca kematian ikan di Sungai Bera

Al-Sultan Abdullah berkenan menyempurnakan pelepasan pelbagai jenis anak ikan pada Majlis Agihan Bantuan Asnaf Nelayan Darat Negeri Pahang di Kampung Padang Rumbia hari ini. - Gambar Bernama
PEKAN: Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) mengesahkan kematian ikan di Sungai Bera baru-baru ini berpunca daripada paras oksigen terlarut yang rendah dan tahap ammonia tinggi.
Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain berkata hasil itu diperoleh selepas analisis sampel air dijalankan di Makmal Biosekuriti Perikanan Kuantan.
"Kami di Jabatan Perikanan masih menyiasat punca pencemaran ini, sama ada ia berpunca daripada aktiviti industri atau perbuatan disengajakan," katanya selepas Majlis Agihan Bantuan Asnaf Nelayan Darat Negeri Pahang di Kampung Padang Rumbia di sini hari ini.
Majlis anjuran Yayasan AmanahRaya dengan kerjasama DOF itu disempurnakan oleh Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan diiringi Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan barisan kepimpinan kerajaan negeri.
Adnan berkata siasatan juga mendapati tiada pencemaran biotoksin atau bakteria berbahaya seperti E. coli dan Salmonela dikesan dalam air sungai itu dan ikan di kawasan berkenaan masih selamat untuk dimakan.
"Masalah oksigen terlarut dan ammonia hanya berlaku dalam air, bukan pada ikan. Asalkan ikan tidak rosak teruk, ia masih boleh dimakan," katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuang sebarang bahan tercemar ke dalam sungai berkenaan bagi mengelakkan kejadian kematian ikan asli atau ternakan ikan sangkar.
"Kejadian ini amat mendukacitakan kerana memberi kesan kepada industri perikanan dan ekosistem sungai. Kami tidak mahu insiden sama berulang pada masa depan," katanya.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan pencemaran itu berpunca dari Sungai Serting yang mengalir ke Sungai Bera, namun menegaskan perkara itu masih memerlukan bukti kukuh.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang Zakaria Ahmad @ Mohd memaklumkan siasatan pihaknya sudah bermula pada 23 Sept lepas dan masih berjalan.
"Pensampelan air sungai telah dijalankan dan masih menunggu keputusan analisa kimia untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi hari ini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami