KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan campur tangan dalam keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pendakwaan jenayah.

Menurutnya, perkara itu telahpun dijelaskan melalui 11 alasan yang dikemukakan Peguam Negara.

"Saya pilih untuk jawab. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) telah jelaskan perkara 145 (3).

"Ia tidak memuaskan semua pihak kerana mereka menyatakan ini sesuatu yang baharu, seolah-olah Perdana Menteri campur.

"Kita cakap hukum, keadilan, tapi kita (pembangkang) boleh pula menghukum orang hanya dengan andaian.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat.

Berlaku perbalahan di antara Perdana Menteri dan ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) apabila Anwar mengeluarkan kenyataan membabitkan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Radzi Jidin.

"You boleh gelak (Radzi Jidin) Putrajaya kerana you buat perkara itu. Masa pentadbiran you buat perkara itu. Yes," dakwa Anwar.

Kenyataan itu mencetuskan kekecohan di Dewan Rakyat apabila Radzi bangun dan meminta Perdana Menteri menarik balik kenyataan itu.

Kekecohan berlarutan hampir 15 minit sehingga Ahli-Ahli Parlimen pembangkang mengambil tindakan keluar Dewan.