KUALA LUMPUR: Kementerian Ekonomi mendedahkan terdapat lebih dua juta percubaan setiap hari untuk mengakses data yang terdapat dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU) pada bulan pertama pelaksanaan sistem tersebut.

Begitu pun, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menegaskan cubaan berkenaan yang dikesan dari luar negara berjaya dipatahkan dan masih gagal ditembusi, setakat ini.

"Sudah tentu ada perkara yang kita kena imbangi dan sebab itu kita mengadakan 'geofencing'.

"Kita tidak benarkan akses dari luar negeri kerana setakat ini rekod yang banyak cubaan akses adalah dari luar negara atau (alamat protokol internet) IP, yang kita rasa berisiko," katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan di Dewan Rakyat pada Selasa.

Rafizi berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Bandar Tun Razak) yang ingin tahu apakah mekanisme untuk meningkatkan dan mempercepatkan pendaftaran rakyat Malaysia terhadap PADU.

Menjawab lanjut, Rafizi (PH-Pandan) berkata pematuhan ciri keselamatan sistem PADU juga menepati piawaian di peringkat antarabangsa.

Jelas beliau, setiap data yang dimasukkan dalam sistem berkenaan bercirikan 'encrypted built-in', di mana pembinaan yang paling sulit dan sukar untuk digodam.

"Setiap data yang didaftarkan di PADU adalah encrypted. Maksudnya kalau ada yang berjaya memecah masuk (sistem PADU) dan memuat turun fail seperti yang disebut 'security breach' (pelanggaran keselamatan).

"Fail (data) yang didapati itu perlu 'decrypt' dan kecualilah penggodam itu ada super computer yang boleh jalankan proses 'decrypt'. Setiap data adalah gibberish (tidak berguna) kerana ia encrypted," tambah beliau.

Katanya, pematuhan ciri keselamatan PADU antaranya menepati standard OWASP Top Ten; National Institute of Standards and Technology; serta Center for Internet Security.

"Insya-Allah kaedah yang dinyatakan itu akan memastikan keselamatan sistem PADU daripada penyalahgunaan, selain memastikan tiada keciciran berlaku dalam PADU," ujarnya lagi.

Sementara itu, Rafizi memaklumkan setakat jam 11.59 malam Isnin, seramai 8,093,336 atau 36.8 peratus rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas telah mendaftar dalam sistem PADU.

Dengan purata kadar pendaftaran antara 350,000 kepada 400,000 sehari, Rafizi yakin pendaftaran PADU mampu menghampiri 50 peratus menjelang 31 Mac ini.