KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi menjelaskan pelantikan Danesh Raj Nagarajan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU), Universiti Malaya adalah bersesuaian dengan kepercayaan kerajaan kepada golongan muda.

Menterinya, Datuk Seri Noraini Ahmad memberitahu Dewan Rakyat hari ini pelantikan anak muda berusia 26 tahun itu turut mengambil kira penglibatannya dengan alumni universiti berkenaan.

"Lantikan beliau (sebagai Ahli Lembaga Pengarah) adalah berdasarkan bahawa penglibatannya dengan alumni universiti terbabit.

"Inilah masa yang paling sesuai untuk kita memberi kepercayaan kepada orang muda terutamanya dalam melihat peranan mereka sebagai Ahli Lembaga Pengarah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim) mengenai rasional pelantikan anak muda itu yang disifatkan akan menggambarkan kepimpinan dan Lembaga Pengarah universiti.

Terdahulu, menjawab soalan tambahan yang dibangkitkan oleh Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam) mengenai penetapan elaun minimum kepada pelajar yang menjalani latihan praktikal, Noraini memaklumkan kementeriannya memohon peruntukan tambahan dengan RM450 juta untuk pelajar yang mengikuti latihan industri pada 2022.

"Kita ada memohon peruntukan tambahan kepada Kementerian Kewangan dan kami berharap ia akan dipersetujui," tambahnya lagi.