Skip to main content

Malaysia

Parlimen: Tiada pengumuman projek, dasar baharu sepanjang kempen pilihan raya - PM Anwar

ANWAR IBRAHIM
Perdana Menteri berkata tindakan adalah selaras dengan peraturan di bawah Seksyen 24B Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5). - Foto Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sebarang pengumuman projek atau dasar baharu pada mana-mana kempen pilihan raya adalah tidak dibenarkan.

Beliau berkata ia selaras dengan peraturan di bawah Seksyen 24B Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5).

“Keputusan kita tetap, iaitu sebaik penamaan calon diumumkan, kempen boleh diteruskan, tapi tidak boleh ada penggunaan ataupun pengumuman jaminan projek baharu ataupun dasar baharu bagi negeri tersebut.

“Tidak boleh menggunakan jentera untuk mengumumkan projek baharu masa kempen sama ada di peringkat bandar raya atau Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) yang ingin tahu sama ada larangan pengumuman peruntukan atau projek kerajaan selepas penamaan calon masih terpakai serta mekanisme penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata pengumuman projek sedia ada atau yang telah diluluskan dalam Belanjawan lepas, tidak menjadi kesalahan dari segi peraturan pilihan raya.

Menjawab soalan tambahan Shahidan berhubung pengumuman peruntukan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming di Johor baru-baru ini, Anwar menjelaskan projek tersebut telah diluluskan sebelum ini dan hanya diulangi oleh kementerian berkenaan.

Berhubung pengumuman penurunan harga diesel bersubsidi untuk rakyat Malaysia kepada RM2.10 seliter, beliau berkata ia merupakan sebahagian daripada pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api yang telah dirancang melibatkan RON95 diikuti diesel.

“Jadi itu memang diumumkan bahawa penyasaran subsidi mula dengan RON95, diikuti dengan diesel. Itu bagi saya tidak ada percanggahan yang diumumkan untuk seluruh negara,” katanya.

Ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai penggunaan aset dan kemudahan kerajaan, Perdana Menteri berkata garis panduan penggunaan yang diputuskan sebelum ini masih terpakai ketika ini.

“Itu telah diputuskan dalam mesyuarat oleh kerajaan sebelum ini, kerana tidak difikirkan wajar untuk seorang Perdana Menteri tidak kira siapa pun untuk pergi tanpa kawalan atau kenderaan rasmi untuk keselamatan.

“Ini diputuskan sebelum saya lagi. Daripada awal dan disahkan pada tahun semasa Bera (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) menjadi Perdana Menteri jadi saya ingat perkara itu jelas. Sama juga Menteri Besar, tetapi dia mesti ingat, dia itu adalah (Menteri Besar) sementara. 

“(Menteri Besar) sementara itu tidak boleh buat pengumuman dasar, tidak boleh buat keputusan-keputusan dasar terutama yang ada implikasi kewangan. Kalau ada pelanggaran, saya dengar sendiri daripada SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya), tindakan tetap diambil,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement