KUALA LUMPUR: Pas hari ini melancarkan Tabung Musa'adah Khidmat Malaysia sebagai persediaan untuk membantu mangsa-mangsa banjir di seluruh negara.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, bantuan kemanusiaan itu mensasarkan kutipan sebanyak RM1 juta untuk musim banjir pada kali ini.

Jelas beliau, pada tahun lepas Khidmat Malaysia telah menyalurkan sebanyak RM1.2 juta hasil kutipan orang ramai bagi membantu mereka yang terjejas akibat musim tengkujuh.

"Insya-Allah dalam usaha khidmat Malaysia pertama, kita menyediakan peralatan yang agak segera untuk bantuan. Contohnya bot, kelengkapan sampan, pemindahan dan sebagainya.

"Keduanya kita juga, saya difahamkan di Khidmat Malaysia akan mengadakan perbincangan dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) selepas ini untuk kita mengadakan kerjasama yang lebih kukuh bagi menghadapi bencana banjir pada kali ini," katanya dalam sidang media di Parlimen pada Khamis.

Hadir sama Pengerusi Khidmat Malaysia, Datuk Ahmad Marzuk Shaary.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, Khidmat Malaysia yang ditubuhkan sejak 10 tahun lalu mengambil inisiatif tersebut demi memastikan kesejahteraan rakyat diutamakan ketika menghadapi bencana, tanpa mengira parti politik.

Sepanjang penubuhan Khidmat Malaysia, beliau menambah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu telah mengadakan kerjasama dengan pelbagai pihak di dalam dan luar negara bagi membantu mereka yang terlibat dalam bencana.

"Sebagaimana yang kita maklum, bila berlaku satu bencana, perkara yang utama yang perlu kita sediakan ialah mereka yang dapat membantu lebih awal menyelamatkan situasi tersebut.

"Contohnya menyelamatkan mangsa banjir daripada terperangkap dan memindahkan mereka ke tempat yang selamat. Oleh kerana suasana perubahan iklim yang berlaku ini mungkin mendedahkan kita supaya Khidmat Malaysia mesti bersedia sepanjang tahun," ujarnya.

Bantuan boleh disalurkan kepada Pertubuhan Pengurusan Kecemasan Bencana (Khidmat Malaysia) melalui nombor akaun Maybank (5623 8454 2866) dan Bank Islam (122 250 100 37517).