GEORGE TOWN: Pas Pulau Pinang hari ini menggesa Kerajaan Pulau Pinang segera membatalkan terus Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) berikutan pembatalan kelulusan penilaian impak alam sekitar (EIA) projek berkenaan.

Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang Muhammad Fauzi Yusoff berkata Pas menyokong penuh komuniti nelayan serta masyarakat mampan Pulau Pinang untuk membantah projek ini sekiranya ia tetap mahu diteruskan oleh kerajaan negeri.

"Demi kelestarian eko-sistem dan sumber rezeki nelayan, Kerajaan Pulau Pinang perlu segera membatalkan terus projek ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Muhammad Fauzi berkata, pembatalan EIA membuktikan bahawa keadilan dan kebenaran dapat ditegakkan tanpa campur tangan politik, malahan lembaga rayuan bebas telah membuat keputusan yang telus, matang dan adil.

Rabu lepas tiga anggota Lembaga Rayuan Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang diketuai Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob telah mengetepikan kelulusan EIA bagi projek itu. Dua lagi anggota ialah Prof Datuk Dr Mazlin Mokhtar dan Prof Madya Dr Ramdzani Abdullah.

Anggota Lembaga Rayuan itu membuat keputusan berkenaan terhadap rayuan yang difailkan oleh Ketua Unit Nelayan Sungai Batu, Zakaria Ismail pada 29 Julai 2019 di bawah Seksyen 35 (1) (e) Akta Kualiti Alam Sekeliling.

Pelaksanaan projek PSR seluas hampir 17 kilometer persegi membabitkan projek pembangunan tiga pulau buatan berkeluasan 1,700 hektar di perairan Permatang Damar Laut berdekatan Bayan Lepas bagi membiayai pelbagai projek infrastruktur dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP) yang bernilai kira-kira RM46 bilion.

-- BERNAMA