Pas bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan dakwaan pemberian dana RM90 oleh UMNO kepada Pas.

Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata Pas terbuka dalam isu ini bahkan dari awalnya menganggap isu ini sebagai fitnah dan tuduhan untuk memburukkan pimpinan dan juga parti itu.

“Pasal Nik Abduh saya tak nak komen, itu kuasa SPRM, cuma pendirian kita seperti yang disebut oleh Setiausaha Agung kita terbuka dan akan memberikan kerjasama penuh kepada SPRM dalam apa-apa isu sebab kita tahu kita berada di pihak yang benar.

"Isu ini lebih kepada fitnah kerana Datuk Seri Najib (Tun Razak) dan Datuk Seri Mohamad Hassan (Timbalan Presiden UMNO) pun kata benda tu (pemberian dana RM90 juta) tak berlaku. Kita tengok, saya nak komen pun tak boleh kerana siasatan (sedang) berjalan,” katanya kepada pemberita selepas kuliah mingguan Pas Kelantan di sini, pada Jumaat.

Terdahulu, beliau diminta mengulas mengenai Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang dipanggil memberikan keterangan di ibu pejabat SPRM selama lebih dua jam hari ini.

BACA: Dana RM90 juta: Nik Abduh hadir di pejabat SPRM Kelantan

BACA: SPRM panggil 4 saksi bantu siasatan dakwaan Pas terima RM90 juta

Ketika ditanya berhubung dakwaan dan tuduhan pimpinan Pas memiliki kekayaan, aset dan juga kenderaan mewah, Nik Mohamad Amar menjelaskan, dakwaan itu tidak benar kerana lebih kepada 'dengar cakap' atau 'hearsay'.

“Beli kereta tu benar, tapi kereta yang macam mana, dalam kemampuan tapi memang cerita tak tepat, dakwaan tak tepat, bukan dakwaan beli kereta mewah, beli kereta itu benar tapi bukan kereta mewah kereta harga RM60,000. Cikgu sekolah beli kereta RM100,000 lebih, takkan Timbalan Menteri Besar tak boleh beli kereta RM100,000 lebih?

Pas juga berkata sumber yang ditulis oleh Sarawak Report (SR) didakwa diperolehi dari Pengerusi Bersama Bersih, Datuk S Ambiga Sreenevasan.

“Saya tak nak komen lebih masa itu kerana kita dinasihatkan oleh peguam jangan komen, kita akan jawab bila kes berjalan, kita dah bagi maklumat kepada peguam dan kes ini dah selesai sebab kita ada persefahaman untuk tarik kes ada persefahaman kedua belah pihak, akhbar lah salah, tajuk letak Pas tarik balik saman, bukan tarik balik saman soalnya penyelesaian luar mahkamah, ada beza tu tarik balik dengan penyelesaian luar mahkamah” ujarnya lagi.

“Kalau kata Pas rasa tak boleh menang kes di mahkamah London, kenapa Clare Rewcastle-Brown (Editor Sarawak Report) rasa kukuh dan boleh menang di sana? Kenapa dia setuju? Kalau persetujuan dua belah pihak, sepatutnya dia diam, sebab persetujuan sudah dibuat, tak sepatut Clare komen lagi dalam SR, buat apa nak panjang cerita kalau dah setuju?” tambahnya.

Isu Pas menerima wang daripada Umno timbul semula apabila Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 1 Februari lalu, membuat keputusan memuktamadkan penyelesaian di luar mahkamah dengan menarik balik tuntutan terhadap Rewcastle-Brown, berhubung artikel mengandungi tuduhan terbabit.

Keputusan itu dicapai menerusi perintah persetujuan di mahkamah tinggi London selepas Abdul Hadi meneliti semua aspek keseluruhan tindakan mahkamah yang difailkan terhadap Rewcastle-Brown selaku defendan dan mempertimbangkan pandangan serta nasihat peguam.

Rewcastle-Brown turut menarik balik tuntutan balas terhadap Abdul Hadi dan kedua-dua pihak bersetuju tiada perintah berkenaan kos. Kedua-dua pihak juga tertakluk pada persetujuan kerahsiaan mengenai terma berkaitan penyelesaian berkenaan.