Tindakan sebuah kilang yang menyelenggara jentera berat di sini dilihat seolah-olah tidak serik dengan perbuatan mereka yang bertindak membuang minyak hitam yang mengalir ke Sungai Gong.

Malah perbuatan itu merupakan kali kedua berlaku melibatkan premis sama menyebabkan gangguan bekalan air melibatkan penduduk di sekitar Lembah Klang.

Sehubungan itu, Ketua Pemuda Pas Selangor, Hanafi Zulkapli menyokong agar kawasan di sekitar itu diwartakan sebagai kawasan tadahan air.

“Perkara ini merupakan perkara yang perlu diambil perhatian oleh kerajaan negeri supaya cadangan melalui Jabatan Alam Sekitar agar mewartakan kawasan persisiran sungai diwartakan sebagai kawasan tadahan air.

“Cadangan ini saya rasa sangat baik untuk hentikan sebarang operasi kilang yang menyebabkan penyaluran bahan toksik dan pencemaran ke sungai,” katanya ketika menghadiri demonstrasi aman di luar kilang berkenaan di Batu Arang, di sini pada Sabtu.

Dalam demonstrasi itu, Pas Selangor turut menggesa kerajaan negeri agar bukan hanya menghentikan operasi kilang tersebut bahkan turut merobohkan premis berkenaan yang telah menjejaskan 1.2 juta pengguna air di Selangor.

Setakat ini, empat individu yang juga pemilik premis berkenaan telah ditahan polis selain turut direman selama enam hari bermula Sabtu.

Mereka disiasat di bawah seksyen 430 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan perbuatan khianat sehingga memutuskan bekalan air untuk pertanian, makanan atau minuman kepada manusia dan haiwan.

Sebanyak 1,292 kawasan di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang, membabitkan hampir 1.2 juta akaun pengguna mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual sejak kelmarin.

Hal itu disebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas Ekoran pencemaran minyak daripada kilang itu pada Khamis lalu.

BACA: Krisis air: Pemilik premis disyaki cemar Sungai Gong direman 6 hari

BACA:
LRA Sungai Selangor, Rantau Panjang kembali beroperasi, agihan berperingkat - Air Selangor