Polis menahan sepasang suami isteri dan dua lelaki tempatan yang dipercayai terbabit dalam sindiket pengedaran dadah di sekitar Kota Kinabalu dan turut merampas dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM50,000 dalam satu operasi yang dibuat pada selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, dua daripada empat suspek itu ditahan dalam serbuan di salah sebuah kompleks beli belah di sekitar Kota Kinabalu dan sedang melakukan transaksi penghantaran bagi tujuan pengedaran dadah.

Katanya, hasil soal siasat ke atas salah seorang suspek telah membawa kepada satu serbuan di sebuah kondominium mewah sekitar Luyang dan pihak polis telah berjaya menahan seorang wanita iaitu isteri kepada suspek utama dan rakannya.

Jelasnya, pihak polis juga turut menemui satu bungkusan plastik berwarna biru yang mengandungi dadah jenis syabu di rumah berkenaan.

"Jumlah keseluruhan tangkapan yang kita buat adalah seramai tiga lelaki dan satu perempuan yang berumur dalam lingkungan 19 hingga 42 tahun.

"Dalam tangkapan tersebut suspek utama iaitu seorang lelaki yang berasal dari Sarawak mempunyai tiga rekod jenayah di bawah akta dadah berbahaya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu, hari ini.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan bersalah boleh dihukum gantung sampai mati.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, pihak polis juga bejaya menahan dua lelaki tempatan dalam satu operasi yang dibuat pada hari sama yang seterusnya berjaya menyelesaikan 13 kes pecah rumah di sekitar Luyang, Inanam, Tanjung Aru, Penampang dan Kudat sejak sebulan yang lalu yang melibatkan nilai kerugian lebih RM400,000.

Habibi menyatakan, kedua-dua suspek yang berusia 25 tahun itu berjaya ditahan di sekitar 1Borneo ketika cuba memecah masuk rumah di kawasan berkenaan.

Menurut Habibi, ketika operasi itu berlaku 'adegan' kejar mengejar antara suspek dan pihak polis susulan tindakan suspek yang cuba melarikan diri namun pihak polis berjaya menghalang dan seterusnya menangkap suspek.

Tambah beliau, pemeriksaan ke atas kereta suspek juga mendapati terdapat peralatan pecah rumah dan suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini.

"Dua lelaki ini adalah warganegara tempatan yang berusia awal 20-an dan bersama tangkapan tersebut kita telah membuat pemeriksaan kenderaan, hasil pemeriksaan kenderaan tersebut kita telah menjumpai alat alat pecah rumah iaitu kuku kambing, sarung tangan, parang dan sebagainya," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana kedua-dua suspek didapati positif dadah.