NATIONAL
Pasangan suami isteri cedera parah, motosikal dirempuh di PLUS

Kejadian berlaku sekitar pukul 2.30 petang dan laporan diterima pada pukul 6.55 petang hari sama daripada pemandu pacuan empat roda terbabit. - Foto tangkap layar FB Mechanic Transmission
KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri cedera parah selepas motosikal berkuasa tinggi Benelli yang dinaiki mereka dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda, Nissan Navara di Lebuhraya PLUS Malaysia Berhad (PLUS) berhampiran Plaza Tol Duta, pada Sabtu.
Ringkasan AI
- Kemalangan serius di Lebuhraya PLUS - Sepasang suami isteri cedera parah selepas motosikal mereka dirempuh oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda, Nissan Navara, berhampiran Plaza Tol Duta.
- Pemandu melarikan diri - Pemandu Nissan Navara gagal mengawal kenderaannya ketika cuba memotong motosikal lain, menyebabkan perlanggaran. Suspek melarikan diri kerana takut dipukul orang awam sebelum akhirnya tampil membuat laporan polis.
- Siasatan dan tindakan undang-undang - Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan, sementara orang ramai diminta membantu dengan memberikan maklumat kepada pihak berkuasa.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 2.30 petang dan laporan diterima pada pukul 6.55 petang hari sama daripada pemandu pacuan empat roda terbabit.
"Siasatan awal mendapati kenderaan jenis Nissan Navara cuba memotong sebuah lagi motosikal namun gagal mengawal kenderaan lalu merempuh motosikal mangsa dari arah kanan.
"Akibat rempuhan itu, penunggang motosikal yang juga suami, berusia 53 tahun, mengalami retak tulang selangka dan luka di bahagian buku lali sementara isterinya yang juga pembonceng, berusia 49 tahun, mengalami kecederaan lebih serius iaitu pendarahan di kepala serta patah buku lali dan tulang rusuk kanan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.
Mohd Zamzuri berkata, kedua-dua mangsa telah dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Menurutnya, pemandu Nissan Navara, seorang lelaki berusia 32 tahun, bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Suspek tidak menghentikan kenderaan dan bertindak melarikan diri ketika kejadian kerana takut dipukul orang awam," ujarnya.
Beliau memberitahu, dia kini ditahan reman selama dua hari selepas tampil membuat laporan polis.
Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta untuk menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Farhad Kamaruddin di talian 011-31903054 atau mana-mana balai polis berdekatan dengan segera bagi membantu siasatan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami