KUALA PILAH: Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Pilah hari ini selepas dipercayai mendera bayi lelaki berusia 16 bulan sehingga meninggalkan kesan lebam di mata serta kesan seterika di belakang badannya, baru-baru ini.
 
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada bapa tiri mangsa berusia 23 tahun dan ibunya yang  berusia 17 tahun selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Saiful Sayoti.
 
Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri itu didakwa melakukan penganiayaan sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal di kepala, mata, badan dan juga tapak kaki.
 

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Felda Bukit Jalor, Ayer Kuning Selatan, Tampin antara 3 Ogos hingga 25 Ogos lalu.
 
Pasangan didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, atau denda maksima RM50,000 atau kedua-duanya sekali.
 
Majistret pada penghakimannya membenarkan bapa tiri mangsa yang bekerja sebagai juruwang di stesen minyak dijamin sebanyak RM10,000 manakala remaja perempuan itu dibenarkan ikat jamin RM6,000.
 
Mahkamah turut menetapkan 4 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan perubatan bayi serta syarat tambahan melapor diri dua kali sebulan di balai polis berhampiran.
 
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Christhoper Enteri Anak Mawan manakala pasangan suami isteri itu diwakili peguam Muhammad Syafiq Stewart Abdullah.
 
Sebelum ini, media melaporkan sepasang suami isteri dari Felda Bukit Jalor, Air Kuning Selatan ditahan susulan kejadian dera anak lelaki mereka pada 25 Ogos lalu.
 
Tindakan kejam itu terbongkar selepas pihak polis menerima laporan daripada seorang doktor dari sebuah klinik di daerah Tampin yang memaklumkan menerima seorang pesakit iaitu bayi berkenaan dalam keadaan lebam di mata dan ada kesan terkena seterika di belakang badannya disyaki didera.
 
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Anuwal Ab Wahab berkata, keadaan mangsa ketika ini bagaimanapun dilaporkan stabil selepas mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah.