Selepas lima hari tular menjadi antara lokasi panas tumpuan gara-gara penduduk gagal mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hari ini, suasana di Pasar Awam Air Itam, Pulau Pinang jauh berbeza.

Tinjauan hari keenam PKP mendapati penduduk di kawasan itu mula mematuhi arahan apabila tidak lagi berpusu-pusu ke pasar berkenaan bagi membeli barang keperluan berbanding sebelum ini.

Meskipun tidak secara keseluruhan, namun keadaan disifatkan bertambah baik selepas penguatkuasaan berterusan yang dijalankan Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia.

Adun Air Itam, Joseph Ng Soon Seong ketika dihubungi memaklumkan, bagi memastikan pasar bebas wabak , pihaknya mengambil langkah menghadkan kemasukan pelanggan serta meletakkan garisan jarak satu meter.

Pelanggan hanya dibenarkan masuk melalui dua intu utama untuk ke pasar basah dan pasar kering seterusnya keluar melalui satu pintu di belakang pasar sahaja.

Sementara itu, peniaga dan penduduk yang ditemui berkata, inisiatif yang diambil pihak berkuasa bagi mengelak kesesakan amat baik dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19.

“Hari ini orang sudah kurang banyak (berkunjung), bukan seperti hari Sabtu dan Ahad ramai yang datang (berbelanja). Pasar Air Itam merupakan pasar yang lama, penduduk (sekitar) pula ada 100,000 orang jadi (pasar( menjadi tumpuan, tapi sekarang (keadaan) sudah terkawal.

“Pagi-pagi ada polis (datang kawal), MBPP (pengkuatkuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang) juga ada bagi ada jarak dan kawal orang masuk… 20 orang sahaja boleh masuk pasar basah, sudah ada garisan (had kemasukan),” kata peniaga akhbar, Chong Wei Tong.



Selain kemasukan pengunjung secara berperingkat ke pasar basah, tinjauan mendapati jumlah kenderaan sangat kurang selain gerai-gerai yang ditempatkan di luar pasar juga tidak kelihatan.

Bagi pekerja swasta, Suhaila Abu Kassim, kemeriahan Pasar Awam Air Itam pada hari ini tidak seperti kelazimannya apabila PKP dilaksanakan.

Namun begitu, Suhaila percaya, PKP yang dilaksanakan adalah baik untuk memastikan penularan wabak COVID-19 terkawal.

MBPP sebelum ini mengambil tindakan dengan mengarahkan semua penjaja di kaki lima Pasar Awam Air Itam menutup perniagaan dan hanya peniaga di dalam premis sahaja dibenarkan beroperasi.

PDRM juga berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi arahan sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.