Kesemua 60 cawangan Tesco di Malaysia serta platform beli-belah barangan runcit, Tesco Online akan meneruskan operasi seperti biasa ketika kerajaan menjalankan Perintah Kawalan Pergerakan mulai esok hingga 31 Mac, 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd Paul Ritchie berkata pelanggan diberi jaminan bahawa stok adalah mencukupi dan syarikat itu akan terus menambah barangan keperluan untuk memenuhi permintaan.

"Walaupun pelanggan mungkin tidak memperolehi beberapa barangan kerana permintaan yang tinggi, saya memberi jaminan kepada pelanggan bahawa stok baharu akan sentiasa tiba dan rakan sekerja kami akan bekerja keras untuk memenuhi rak di cawangan-cawangan kami, secepat yang mungkin," katanya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan untuk mengawal penularan COVID-19.

Menurut Ritchie, Tesco sedang bekerjasama rapat dengan para pembekalnya untuk mengekalkan bekalan kesemua produk utama terutamanya barangan segar dan sejuk beku, barangan runcit dan barangan keperluan lain.

"Kami meminta pelanggan agar membuat pembelian seperti yang biasa dilakukan dan hanya membeli mengikut keperluan mereka dan anggota keluarga.

"Kami faham kebimbangan itu, namun, membeli lebih daripada yang diperlukan kadang kala menyebabkan tiada yang tinggal untuk orang lain. (Bekalan) cukup untuk semua orang sekiranya kita bekerjasama," katanya.

Beliau berkata, untuk membeli belah dengan lancar, pelanggan Tesco digalakkan menggunakan aplikasi 'Scan and Shop' yang baru dilancarkan bulan lepas.

"Aplikasi 'Scan and Shop' akan membantu mereka menjejaki dan mengimbas pembelian. Bukan sahaja pelanggan dapat menjimatkan masa membeli-belah, malah dapat mengurangkan kontak fizikal ketika berada di pasaraya," katanya.

Beliau berkata pelanggan juga boleh membeli belah barangan keperluan menerusi Tesco Online atau Happyfresh.

"Bagaimanapun, Tesco telah melaksanakan had kuantiti sementara iaitu hanya tiga unit bagi setiap barangan bagi pembelian di Tesco Online untuk mengekalkan kecekapan menghantar dan memberi perkhidmatan kepada pelanggan," katanya.

Ritchie berkata Tesco juga akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa kesihatan dalam melaksanakan pendekatan perlu bagi memastikan kesihatan dan keselamatan pekerja dan pelanggan di premisnya dan perkhidmatan dalam talian.

"Langkah-langkah ini termasuk membersihkan troli, kaunter bayar dan keluar, bekas penghantaran, peralatan dan semua kawasan tumpuan tinggi," katanya sambil memaklumkan semua pekerja Tesco telah dilatih untuk mengamalkan rutin penjagaan kebersihan yang baik.

-- BERNAMA