KUCHING: Lebih 26,000 pengguna media sosial di Sarawak telah menandatangani petisyen menggesa Ahli Parlimen (MP) Sarawak penganut agama Kristian menolak kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) atau parti komponennya, Pas.

Petisyen yang dilancarkan Parti Sarawak Bersatu (PSB) itu telah dimulakan semalam (Selasa, 22 Nov) melalui lawan sesawang change.org dan kini mensasarkan sehingga 35,000 tandatangan.

Kandungan petisyen tersebut memperincikan gesaan kepada 13 orang MP Sarawak yang beragama Kristian sebagai bukti sokongan kepada pendirian negeri itu sebagai model keharmonian pelbagai kaum dan agama.

Mereka terdiri daripada empat ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) iaitu Datuk Willie Mongin (Puncak Borneo), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (Kapit), Datuk Henry Sum Agong (Lawas) dan Richard Rapu (Betong).

Lima lagi MP ialah daripada Parti Rakyat Sarawak (PRS), iaitu Datuk Seri Doris Sophia Brodi (Sri Aman), Roy Anger Gingkoi (Lubok Antu), Datuk Aaron Ago Dagang (Kanowit), Datuk Wilson Ugak Kumbong (Hulu Rejang) dan Edwin Banta (Selangau).

Petisyen tersebut juga ditujukan kepada dua MP daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), iaitu Datuk Seri Richard Riot Jaem (Serian) dan Datuk Seri Huang Tiong Sii (Sarikei), juga seorang MP Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Tiong King Sing (Bintulu) dan MP tunggal dari PN, Datuk Ali Biju (Saratok).

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’Kelalan, Baru Bian menggesa Gabungan Parti Sarawak (GPS) menolak sebarang kerjasama dengan PN dan Pas bagi membentuk kerajaan persekutuan kerana parti itu disifatkan sebagai “pentaksub perkauman”.

BACA: Baru Bian gesa GPS jangan tubuh kerajaan dengan 'pentaksub agama'

Beliau yang juga bekas ketua PKR Sarawak berkata, MP di negeri itu perlu mengekalkan keharmonian yang wujud dalam masyarakat berbilang kaum dan agama di Sarawak.

Capaian petisyen tersebut masih aktif dan masih menerima maklum balas daripada pengguna media sosial di Facebook dan aplikasi WhatsApp.