KUALA TERENGGANU: Naib Presiden Pas, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar bersedia memberikan keterangan kepada pihak polis berhubung dokumen 'PasLeak' yang tular.

Bagaimanapun Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata setakat ini beliau tidak menerima panggilan daripada pihak berkuasa.

Katanya tiada keperluan bagi parti Pas untuk membuat laporan polis berhubung perkara yang disifatkan sebagai ‘sampah’.

Jelasnya lagi, terserah kepada pihak berkuasa bagi menjalankan apa jua siasatan sekiranya perlu.

“Sudah tentu sebagai warganegara yang patuh pada peraturan yang ada saya atau siapa jua yang dipanggil pihak berkuasa akan akur.. belum (dipanggil).

“Saya rasa saya jawab dah sebelum ini, ‘sampah’, tak tahulah hari ni ada lagi orang nak kira tanya pasal ‘sampah’.  Jadi itu jawapan saya, pada saya dah kata ‘sampah’ sebelum ini. Ingat orang tak buat kira dah sampah-sampah ini,” katanya.

BACA: PasLeak: Kertas siasatan dibuka, individu terlibat akan dipanggil - Ketua Polis KL

Terdahulu polis telah membuka kertas siasatan berhubung dokumen 'PasLeak' yang tular mengandungi dakwaan percaturan politik, termasuk mencampuri urusan mahkamah.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim memberitahu, pihaknya akan memanggil individu-individu yang disebut dalam minit mesyuarat terbabit bagi dirakamkan percakapan.

Sementara itu ketika ditanya berhubung desakan pihak tertentu untuknya bersumpah berhubung perkara itu Ahmad Samsuri berkata tiada keperluan  untuk melakukannya.

“Orang yang menyeru saya rasa tak faham bahasa sebenarnya bila saya kata ‘sampah’. Itu sampah lah. apa nak sumpah-sumpah, tak ada keperluan,” katanya.

Sebelum ini, empat keping tangkap layar dokumen didakwa mengenai percaturan politik Pas, antaranya menyentuh mengenai campur tangan dalam urusan mahkamah, menjadi tular di media sosial.

Dokumen yang didakwa diklasifikasikan sebagai sulit itu, didakwa Minit Mesyuarat Pas yang diwakili oleh Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dengan beberapa pemimpin kanan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.