MELAKA: Kerajaan negeri menerusi Jabatan Pendidikan Melaka akan memperkasakan penubuhan pasukan khas bagi Program Pembangunan Sahsiah Anak Yang Baik Lagi Cerdik (ABC) Melaka untuk menangani masalah buli dan kesihatan mental dalam kalangan pelajar.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata pasukan diketuai beliau itu diwujudkan sejak tiga tahun lepas dan turut mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Pasukan itu bertindak mencegah masalah buli dalam kalangan pelajar terutama sekolah berasrama, namun dalam masa sama kita juga akan menggerakkannya untuk memantau tahap keselamatan, kemudahan dan kesihatan mental pelajar di sekolah.

"Menerusi usaha tersebut juga kita dapati ia telah menunjukkan keberkesanan kepada pelajar yang terlibat kerana dalam tempoh enam bulan hingga setahun kes buli yang berlaku di sekolah berkenaan dapat ditangani dengan baik dan tidak berulang," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Terdahulu beliau hadir menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Penajaan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Penyerahan Jersi Pasukan di Sekolah Sukan Negeri (SSN) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota bagi menyertai Kejohanan TNB Liga Hoki Remaja Malaysia (MJHL) 2023.

Rahmad berkata pihaknya juga akan turun padang ke sekolah terlibat setiap enam bulan bersama kaunselor bagi membantu memberi peringatan dan nasihat kepada pelajar supaya tidak terlibat dengan aktiviti salah laku di sekolah.

Menurutnya berkata pasukan khas tersebut mengunakan Modul 5P antaranya penegasan iaitu tindakan buli menyalahi peraturan sekolah, penghukuman dengan penjelasan hukuman boleh dikenakan pembuli berdasarkan undang-undang.

"Tumpuan juga diberikan kepada penyedaran kepada pelajar tentang keistimewaan mereka yang tinggal di asrama, selain pemerhatian serta lawatan ke bilik asrama dan penyuraian dengan memberi rasional kepada pelajar bagi memastikan mereka sentiasa berada keadaan emosi yang stabil serta selesa," katanya.

Beliau berkata berikutan terdapat dua kes bulan ini yang membabitkan kematian pelajar dipercayai berkaitan tekanan mental dan kemurungan, kumpulan petugas itu telah digerakkan bagi memantau tahap kesihatan mental pelajar khususnya membabitkan sekolah berasrama.

Media sebelum ini melaporkan seorang pelajar lelaki tingkatan dua mencekik adiknya berusia sembilan tahun sehingga mati di Kampung Bukit Piatu pada 5 Julai lepas, dipercayai mengalami tekanan mental akibat dibuli.

Pada 20 Julai pula seorang pelajar perempuan tingkatan satu dilaporkan terjatuh daripada bangunan sekolah di Durian Daun dan siasatan lanjut mendapati mangsa sedang menjalani rawatan psikiatri di Hospital Muar, Johor.

-- BERNAMA