MALAYSIA
Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi pastikan pelaburan dalam AI tingkat kecekapan kerajaan

Mesyuarat STAR dipengerusikan Shamsul Azri semalam, antara lain membincangkan status pelaksanaan projek-projek STAR, serta menilai isu berkaitan kecekapan pentadbiran. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) sedang meneliti secara menyeluruh penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan pelaburan dalam teknologi itu benar-benar menyumbang kepada kecekapan pentadbiran dan penyampaian kerajaan.
Ringkasan AI
- STAR meneliti penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara menyeluruh, termasuk isu "AI Productivity Paradox" yang menunjukkan teknologi AI belum memberi impak signifikan terhadap produktiviti negara.
- Mesyuarat STAR membincangkan pelbagai isu pentadbiran seperti keselamatan sempadan, gangguan sistem imigresen, dan integriti perkhidmatan awam, serta menekankan keperluan penambahbaikan prosedur dan sistem selaras piawaian antarabangsa.
- Tiga kementerian menerima penghargaan Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) atas inisiatif penjimatan kos dan peningkatan kecekapan, termasuk KPWKM, KPM dan Kementerian Perladangan dan Komoditi.
Ia antara lain membincangkan status pelaksanaan projek-projek STAR, menilai isu berkaitan kecekapan pentadbiran serta mempertimbangkan beberapa inisiatif strategik melibatkan pengoperasian kuarters kerajaan, keselamatan sempadan, gangguan sistem imigresen dan cabaran teknologi dalam pentadbiran awam.
Mesyuarat itu turut menekankan kepentingan memperkukuh integriti perkhidmatan awam, khususnya di pintu masuk negara, seiring usaha kerajaan memastikan tadbir urus yang telus dan berakauntabiliti.
STAR berkata pihaknya juga akan terus meneliti faktor yang mempengaruhi keberkesanan penyampaian di lapangan serta menambah baik prosedur operasi dan sistem sokongan agar selaras dengan piawaian antarabangsa.
Selain itu, tiga kementerian menerima sijil penghargaan Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB).
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) diiktiraf melalui pendigitalan kursus bidang kerja sosial dengan penjimatan kos pematuhan RM150,000 setahun, manakala Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berjaya memendekkan tempoh proses rayuan kemasukan ke Kolej Matrikulasi daripada 12 kepada lima hari bekerja, dengan penjimatan kos RM7.5 juta setahun.
Kementerian Perladangan dan Komoditi pula meningkatkan kualiti perkhidmatan pelesenan dan permit Lembaga Getah Malaysia, yang menyaksikan pengurangan kos pematuhan sebanyak 68 peratus dengan penjimatan RM11.4 juta setahun.
STAR yang diselaraskan Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi, dengan kerjasama Unit Pantau MADANI dan Perbadanan Produktiviti Malaysia, akan terus memainkan peranan strategik dalam memacu penyampaian dasar serta penyelesaian isu rentas kementerian dan agensi.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami