KUALA LUMPUR: Pelepasan bekas Menteri Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony melalui Program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) dibuat setelah memenuhi tempoh kelayakan ditetapkan serta melalui proses tapisan dan penilaian seperti prospek lain yang dipertimbangkan untuk program itu.
Jabatan Penjara dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelepasan melalui PBSL tidak bermaksud baki hukuman yang dijatuhkan mahkamah diketepikan, sebaliknya Peter masih menjalani tempoh hukuman dalam komuniti dan tertakluk kepada syarat, peraturan serta pemantauan yang ditetapkan.
Jabatan itu memaklumkan PBSL antara mekanisme Pemulihan Dalam Komuniti yang dilaksanakan secara berstruktur bagi prospek yang memenuhi syarat dan kriteria kelayakan ditetapkan.
“Bagi dipertimbangkan mengikuti PBSL, seseorang prospek perlu terlebih dahulu menjalani sekurang-kurangnya satu pertiga daripada tempoh hukuman namun pemenuhan tempoh itu tidak memberikan kelayakan secara automatik,” menurut kenyataan itu.
Antara saringan dan penilaian dilakukan ialah sahsiah dan tingkah laku sepanjang menjalani hukuman, tahap kepulihan, penyertaan dalam Program Pembangunan Insan, kesediaan kembali ke komuniti, sokongan keluarga, kesesuaian penempatan, peluang pekerjaan dan keperluan pemantauan selepas pelepasan.
Jabatan itu memaklumkan penilaian dan pertimbangan PBSL pada peringkat Ibu Pejabat Penjara Malaysia dibuat melalui Jawatankuasa PBSL yang dipengerusikan oleh Komisioner Jeneral Penjara serta dianggotai pegawai kanan dan wakil agensi berkaitan.
Mekanisme itu bagi memastikan setiap pertimbangan dibuat berdasarkan kelayakan dan hasil penilaian terhadap prospek selaras dengan proses yang ditetapkan.
Dalam pada itu, jabatan itu menegaskan PBSL dilaksanakan kepada prospek yang layak tanpa mengira latar belakang, kedudukan status atau pengaruh dengan status individu bukan kriteria yang memberikan kelebihan atau pengecualian daripada proses kelayakan serta penilaian.
“Sehubungan dengan itu, dakwaan pelepasan melalui PBSL diberikan atas layanan berbeza atau dwistandard adalah tidak tepat. Setiap pertimbangan dibuat berdasarkan kelayakan, penilaian dan proses yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.
Jabatan itu memaklumkan pelaksanaan PBSL berteraskan prinsip Pemulihan Dalam Komuniti yang mengimbangi kepentingan keselamatan awam, pemulihan individu, pengawasan serta persediaan untuk reintegrasi ke dalam keluarga dan masyarakat.
Pendekatan itu sebahagian daripada proses pemulihan dalam sistem koreksional manakala prospek yang diberikan PBSL kekal tertakluk kepada pengawasan sehingga selesai menjalani baki tempoh hukuman.
Pada 25 Mac, Peter yang sedang menjalani hukuman penjara tiga tahun di Penjara Kajang, Selangor atas sabitan memalsukan dokumen berkaitan kontrak penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dilaporkan dibebaskan melalui PBSL kira-kira dua minggu sebelum itu dan berada di Sabah.
-- BERNAMA