JOHOR BAHRU: Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Johor diminta mempermudahkan proses permohonan lesen perniagaan kepada masyarakat di kawasan masing-masing bagi membantu mereka yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad berkata perkara-perkara membabitkan birokrasi yang membebankan seperti tempoh permohonan lesen, perlu diselesaikan segera.

"Kalau orang hendak buka kedai makan, jangan sampai berbulan-bulan baru hendak dapat lesen. Kalau boleh permudahkan. Jika rakyat hendak berniaga di mana-mana juga, benarkan mereka.

"Urusan lesen ini, kita buat kemudian. Cari jalan untuk kita boleh mengurangkan karenah-karenah dan birokrasi dalam keadaan rakyat tersepit, rakyat susah pada waktu ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hasni berkata ekoran pandemik hasil kerajaan negeri turut berkurangan bagi membantu rakyat menerusi pelbagai inisiatif termasuk pengecualian bayaran sewaan premis perniagaan milik kerajaan negeri termasuk premis-premis milik PBT, agensi kerajaan yang lain serta rumah-rumah dimiliki kerajaan.

Beliau dalam pada itu turut berharap agar pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini terus memainkan peranan membantu rakyat dalam kesusahan.

"Usaha ini saya harap akan jadi perkara lazim. Hari ini bantu mereka yang terkesan akibat pandemik, esok lusa bantu mereka mungkin terkesan sebab perkara lain," katanya.

-- BERNAMA