KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan agar pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak 'menekan' peniaga bazar Ramadan dengan mengenakan kos sewa tapak yang tinggi.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kesan rantaian ekonomi terhadap perniagaan dipercayai berpunca akibat kadar sewaan tapak yang sangat tinggi.

Selain itu, Anwar menambah keadaan semakin buruk apabila terdapat  PBT menyerahkan pengurusan tapak bazar Ramadan kepada ejen-ejen.

"Pertamanya kos sewa itupun terlalu tinggi. Jadi kita telah memberikan arahan, kalau kos itu yang dikendalikan oleh Majlis Perbandaran, jangan tekan dalam keadaan sekarang.

"Kemudian, sebahagian Majlis Perbandaran itu (pengurusan tapak bazar) diberikan kepada ejen-ejen. Jadi akhirnya penyewa tidak menyewa secara langsung daripada Majlis Perbandaran (menyebabkan) kos meningkat.

"Semalam di Tambun, saya dapati bahawa sekiranya kos sewa itu lumayan (rendah), ia tidak sangat mengesankan. Ada beberapa kedai daripada ratusan, ada sekitar 180 semalam yang mengambil kesempatan untuk meningkatkan," katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Perdana Menteri menjawab soalan dikemukakan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan, bertanyakan tentang impak kenaikan cukai perkhidmatan bermula 1 Mac lalu menyebabkan rungutan daripada peniaga bazar Ramadan yang menyebabkan mereka kerugian dan tidak dapat membayar kos sewa tapak.