JOHOR BAHRU: Sebanyak 5,000 pek SIM prabayar YES 5G bernilai RM100,000 disumbangkan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) di Johor bagi membantu mereka mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) susulan situasi jerebu baru-baru ini.
Menurut hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, inisiatif itu dilaksanakan atas keprihatinan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah terhadap pendidikan dan kebajikan generasi muda, khususnya pelajar yang berhadapan kekangan akses Internet.
“Setiap pek SIM dilengkapi dengan 50 gigabait (GB) data Internet berkelajuan tinggi secara percuma bagi memudahkan pelajar mengakses bahan pendidikan digital serta mengikuti sesi PdPR dengan lebih lancar,” menurut hantaran itu.
Sumbangan menerusi Inisiatif Kesalinghubungan Digital Johor itu melibatkan kerjasama Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ), YTL Communications Sdn Bhd dan Jabatan Pendidikan Johor.
Majlis penyerahan sumbangan itu disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communications, Wing K. Lee bersama-sama Ketua Pegawai Eksekutif YRZSNJ, Hishammuddin Abdul Rahim di Menara YTL, Kuala Lumpur semalam.
Hadir sama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communications, Jacob Yeoh Keong Yeow; Ketua Pemasaran YTL Communications, Chay Wan Nee dan Pengurus Komunikasi Korporat YRZSNJ, Dawson Yeang.
Hishammuddin turut merakamkan penghargaan kepada YTL Communications atas sumbangan itu yang disifatkan mampu membantu merapatkan jurang digital dalam kalangan keluarga B40.
Beliau berkata, inisiatif itu penting bagi memastikan pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan tidak tercicir dalam pembelajaran akibat keterbatasan akses Internet.
Sementara itu Wing berharap, pengagihan pek SIM percuma itu dapat membantu pelajar di Johor meneruskan pembelajaran tanpa ketinggalan.
-- BERNAMA